TANJONG BUNGA – Sebanyak lima alat Bantuan Asas Hayat (BLS) atau Automated External Defibrillator (AED) bernilai RM29,000 disumbangkan antaranya kepada Masjid Karwa, Masjid Tuan Guru, Masjid Terapung serta Masjid Ar-Rahman sebentar tadi.
Sumbangan tersebut disempurnakan pada Sesi Jelajah Parlimen Bukit Bendera peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Tanjong Bunga di sini, malah satu unit AED juga bakal diletakkan di Kompleks Makanan dan Pasar Tanjong Bungah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga merangkap Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata bahawa pemasangan alat bantuan tersebut adalah khusus bagi membolehkan jemaah masjid mengakses pada kadar segera keperluan berkaitan sekiranya berlaku kecemasan pada waktu tidak dijangka.
“Saya berasa kagum melihat perkembangan pembinaan masjid-masjid sekitar sini termasuk pembangunan Masjid Tuan Guru yang dijangka siap pada tahun ini setelah terjejas pembinaannya ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu,” jelasnya pada sesi berkenaan.
Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai bersama-sama barisan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : SITI NUR ATIKAH RAHMAT