Sumbangan Aidilfitri tanda penghargaan kepada PDRM, ATM

whatsapp image 2025 03 17 at 11.05.15

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang meneruskan tradisi menyampaikan sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri bernilai RM10,000 masing-masing kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontijen Pulau Pinang dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sumbangan disampaikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow kepada Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad dan Panglima 6 Briged Tentera Darat Malaysia (TDM), Brigedier Jeneral Mohd. Fouzi Sulaiman dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Menurut Kon Yeow, sumbangan kecil tersebut adalah sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada PDRM dan ATM yang sentiasa berusaha dalam memastikan keselamatan negara, khususnya di negeri Pulau Pinang sentiasa terkawal.

whatsapp image 2025 03 17 at 11.05.17whatsapp image 2025 03 17 at 11.05.16 (1)

“Pada kesempatan ini, saya ingin menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada ATM dan PDRM yang telah menyumbang kepada kestabilan keselamatan di negeri Pulau Pinang.

“Berdasarkan taklimat yang diberikan, kita mendapati bahawa tidak banyak isu yang boleh menggugat keselamatan berlaku di negeri Pulau Pinang, dan jika ada pun ia telah diuruskan dengan baik oleh PDRM.

“Kerajaan Negeri juga menyambut baik kesediaan pihak ATM untuk turut sama membantu sekiranya berlaku sebarang bencana di negeri ini,” katanya sambil menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Bulan Ramadan dan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua anggota ATM dan PDRM di Pulau Pinang.

 

Pada masa sama, Hamzah merakamkan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sudi menghulurkan sumbangan setiap kali menjelang Aidilfitri.

“Dengan sumbangan ini, kami dapat menganjurkan beberapa program dan aktiviti yang melibatkan komuniti PDRM.

“Kami (PDRM) komited untuk berkhidmat demi memastikan keselamatan di negeri Pulau Pinang sentiasa dalam keadaan baik,” ujarnya.

Serentak itu, Mohd. Fouzi juga merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Kon Yeow atas pemberian sumbangan tersebut.

“Kami akan teruskan kesinambungan jalinan kerjasama dengan Kerajaan Negeri dan PDRM dalam isu-isu yang memerlukan penglibatan ATM, setakat mana yang dibenarkan,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR