Sumbangan aktifkan seni silat negeri

Admin

PADANG LALANG – Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng memuji inisiatif Persatuan Penduduk Desa Wawasan yang dianggap giat mengaktifkan kegiatan belia setempat melalui Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM).

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan pelbagai kelengkapan bela diri kepada persatuan penduduk berkenaan di sini baru-baru ini.

“Kos semua kelengkapan bela diri ini (berjumlah) RM2,000 sahaja, selepas pejabat saya menerima permohonan daripada persatuan penduduk.

“Saya rasa apa yang dilakukan di sini adalah sangat baik untuk latihan bela diri, selain, mengaktifkan lagi belia di sini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang sambil merakamkan penghargaan kepada Briged Wanita setempat.

Pengerusi Persatuan Penduduk Desa Wawasan, A.P. Wijaya yang ditemui kemudian turut merakamkan penghargaan atas sumbangan Chong Eng itu.

Nada sama turut diluahkan Jurulatih PSSLM Gelanggang Desa Wawasan, Hafiz Abdul Aziz.

Tambah beliau, dua pelatih dari gelanggang tersebut, Atika Elias, 17, dan Nurfirzahah Mohd. Idris, 17, pada 5 September tahun lepas selama 13 hari menyertai satu kejohanan bela diri peringkat antarabangsa di Seoul, Korea.

“Ini antara sumbangan anak Melayu kita dari gelanggang ini mewakili Malaysia dan Pulau Pinang.

“Saya pun harap sumbangan ini memberi semangat kepada lebih 30 pelatih antara umur tujuh tahun  hingga 17 tahun di gelanggang yang berusia lapan tahun ini,” jelas beliau.