Sumbangan amal hasil jual makanan vegetarian dapat pujian Ketua Menteri

Admin
8242470c f7fb 4157 99b9 79cd76549a6e

GEORGE TOWN – Program jualan amal makanan ‘vegetarian’ selama sembilan hari yang dianjurkan pada bulan Oktober 2023 oleh Kelab Wanita Taman Tambun Indah berjaya mengumpulkan dana amal sebanyak RM300,000.

d99241e2 a13c 4bfb a3ed e7de842089ed
KETUA Menteri

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji kepimpinan Eileen Quek selaku pengerusi penganjur program tersebut kerana memulangkan hasil jualan amal berkaitan dalam pelbagai bentuk sumbangan untuk manfaat masyarakat.

“Saya telah difahamkan bahawa dana yang dikumpulkan ini akan digunakan demi kepentingan masyarakat.

“Kejayaan inisiatif ini adalah bukti dedikasi dan usaha berterusan daripada Persatuan Penduduk Taman Tambun Indah dan Kelab Wanita (Taman Tambun Indah) yang ditubuhkan dan telah berkhidmat dalam komuniti selama 23 tahun,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam majlis berkaitan di Komtar pada 16 Mei 2024.

Sehubungan itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu juga menyeru semua pihak lain di negeri ini untuk turut serta dalam usaha pembangunan sosioekonomi masyarakat serta kualiti hidup rakyat Pulau Pinang.

2dc0e8d8 495b 4e11 82be 8390d9678400
EILEEN Quek

Berucap sebelum itu, Eileen Quek memberitahu bahawa seunit emergency mobile ventilator bernilai RM67,500 dan seunit transfer incubator (RM67,500) disumbangkan kepada Hospital Bukit Mertajam.

“Hospital Seberang Jaya pula akan menerima sumbangan amal berupa seunit emergency mobile ventilator.

“Malah, sebanyak RM60,000 dana turut disumbangkan untuk projek pembinaan sebuah bilik darjah baru di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Keng Koon, serta seunit mesin Automated External Defibrillator (AED) bernilai RM8,500 kepada Persatuan Pemilik dan Penghuni Rumah Taman Tambun Indah,’’ ujarnya.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Sungai Puyu; Phee Syn Tze; mantan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Dato’ Seri Phee Boon Poh; Pengarah Hospital Pulau Pinang, Dr. Goh Hin Kwang; Pengarah Hospital Seberang Jaya, Dr. Saiful Azlan Sharif dan Pengarah Hospital Bukit Mertajam, Dr. S. Prashant antara yang hadir menyaksikan majlis sumbangan amal tersebut tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ALISSALA THIAN