Sumbangan bakul makanan tidak kira latar belakang politik – Ahli Parlimen

Admin

TELUK BAHANG – Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik menyangkal dakwaan bantuan bakul makanan peringkat parlimen tersebut cuma diberikan kepada penyokong parti tertentu.

Jelasnya, beliau turut memberikan bantuan tersebut dari nama-nama yang dicadangkan dari parti Kongres India Malaysia (MIC) walaupun parti tersebut dari blok pembangkang di negeri ini.

“Kita bagi tidak kira bangsa, agama termasuk pegangan parti politik, MIC pun beri 84 nama tetapi kita bagi 50 dahulu, kita akan susuli lepas ini agar semua itu dapat.

“Maksudnya di sini walaupun berlainan parti, ada yang tuduh kita cuma bagi kepada parti sendiri, itu tanggapan salah, kita bagi kepada semua yang layak,” ujar beliau ketika menyantuni penerima-penerima bakul makanan kepada 200 individu secara pandu lalu di Air Putih, Balik Pulau pagi tadi.

Bakul-bakul makanan berjumlah 3,000 beg tersebut telah mula diagihkan 16 Julai lalu (fasa satu) dan akan terus diagihkan lagi sehingga selesai dalam masa terdekat.

Beliau juga mengambil inisiatif pemberian nasi lemak, ayam dan minyak untuk penerima-penerima yang terjejas pendapatan akibat COVID-19 ini.

“Kepada yang ada anak kecil bantuan lampin bayu turut diberikan, ada juga yang datang mohon bantuan susu formula, kita juga beri baucar untuk ditebus di kedai-kedai terpilih,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) angkat bagi Teluk Bahang.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : IDZHAM AHMAD