PAYA TERUBONG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap agar bantuan hamper barangan kering kepada 120 penerima perlu sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Terubong bakal mengundang sedikit keceriaan pada sambutan Syawal.
Beliau berkata demikian ketika pada Majlis Berbuka Puasa & Pemberian Sumbangan Hamper Kepada Kariah dan Penduduk Setempat dekat Surau Al-Muttaqin di sini tadi.
“Majlis pada hari ini menyumbangkan 120 hamper (makanan kering) yang bernilai RM80 setiap satu kepada anak kariah dan penduduk tempatan.
“Saya berharap sumbangan ini dapat menyuntik sedikit keceriaan serta kegembiraan dan sekaligus meringankan beban golongan berkaitan,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi pada majlis berkaitan.
Turut hadir, ADUN Paya Terubong, Yeoh Soon Hin; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Rohaizat Hamid; wakil-wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Paya Terubong serta Pengerusi Kariah Surau Al-Muttaqin, Saiful Fadly Saifuddin.
Kon Yeow dalam pada itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada ADUN Paya Terubong yang telah memanfaatkan serta menggunakan kepelbagaian platform sebagai inisiatif menyelesaikan isu-isu berbangkit setempat pada tempoh pandemik COVID-19.
“Antara bentuk bantuan yang diberikan sebelum ini termasuk mengedarkan 10,000 bantuan makanan, baucar pembelian barangan keperluan harian dan kit COVID-19 kepada golongan B40.
“Malah, sepanjang tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) juga, sebanyak 100 alat pelajaran (komputer riba, tablet serta komputer meja) juga telah disumbangkan kepada pelajar dari golongan B40,” ujarnya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR