Sumbangan berganda bantu pesakit kanser

Admin

TANJUNG BUNGA – Kerajaan Negeri komited menyumbang tambah setiap sen yang dikumpul syarikat pembuatan pemprosesan komputer, Intel Technology (Penang) Sdn. Bhd. (Intel) kepada Hospital Kanser Mount Miriam (HKMM) melalui program Kayuhan Amal Kanser anjurannya di sini baru-baru ini.

Pada program tersebut, jumlah pungutan derma yang diperoleh Intel adalah sebanyak RM26,800. Justeru, Kerajaan Negeri bakal menyumbang jumlah sama (sebagai tambahan daripada jumlah yang dipungut) kepada pusat perubatan berkaitan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya menyatakan bahawa Intel dan HKMM telah mengubah kehidupan, ini yang ingin kita lihat di Pulau Pinang.

“Ini semua berlaku kerana Intel membangunkan sebuah sistem yang berkesan. Kerajaan juga sama, kita mesti bukan hanya sistem, sebaliknya satu ekosistem yang bertambah maju dan berkhidmat untuk rakyat,’’ katanya pada program tersebut.

Kayuan membabitkan 189 peserta adalah bermula dari Intel PG9 ke Padang Kota Lama di sini sebelum disertai tambahan 111 pengayuh dan seterusnya ke HKMM di Tanjung Bunga.

Kayuhan tersebut diketuai Pengarah Urusan Intel Malaysia – Pusat Reka Bentuk, Chris Kelly. Dalam pada itu, penganjur program, Lim Bok Sim menyatakan bahawa kutipan derma amal tersebut merupakan kerja sukarela bagi membantu pesakit-pesakit kanser yang kesempitan wang bagi mendapatkan rawatan.