Sumbangan hadiah kemenangan demi keperluan komuniti setempat dipuji

Admin

PADANG KOTA – Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lebuh Chulia sebentar tadi bermurah hati menyumbangkan beberapa peralatan keperluan membabitkan masjid-masjid sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota bersempena sambutan Syawal yang menjelang tiba.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika ditemui menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih terhadap pihak  berkaitan yang menggunakan hadiah dimenangi dalam Pertandingan Komuniti Hijau COVID-19 2021 peringkat kebangsaan demi keperluan komuniti setempat.

“Sekalung tahniah kepada MPKK Lebuh Chulia yang berjaya memperoleh tempat pertama dalam pertandingan anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) baru-baru ini.

“Hasil kemenangan diperoleh adalah berjumlah RM50,000 yang mana ia digunakan sejajar usaha murni MPKK (Lebuh Chulia) termasuk menyumbangkan beberapa peralatan diperlukan pihak-pihak masjid sekitar sini,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi pada Majlis Sumbangan MPKK Lebuh Chulia di sini.

KETUA Menteri (tengah) bersama-sama barisan MPKK Lebuh Chulia semasa perasmian Bilik Gerakan sebentar tadi.

Pada majlis sama, Kon Yeow turut merasmikan pembukaan Bilik Gerakan MPKK Lebuh Chulia yang baru sahaja siap dibina.

“Ekoran kemenangan yang diperoleh, MPKK Lebuh Chulia telah berjaya merealisasikan impian mereka untuk mendirikan bilik gerakan sendiri.

“Setelah membuat lawatan, saya amat berpuas hati dengan gerak kerja yang telah dilaksanakan dan hanya berbaki beberapa pemasangan yang bakal dijalankan, syabas diucapkan,” jelasnya sambil berharap lebih banyak program manfaat bakal digerakkan selepas ini.

Turut hadir, Pengerusi MPKK Lebuh Chulia, Lily Oh dan Setiausahanya, Lily Wong.

SESI pemberian penyejuk udara oleh Ketua Menteri di Masjid Kapitan Keling.
KETUA Menteri semasa merasmikan pemberian set televisyen di Masjid Alimsah Waley.
KEHADIRAN Ketua Menteri di Masjid Benggali sebentar tadi semasa sesi pemberian karpet.

Dalam pada itu, Lily Wong turut berkongsi butiran sumbangan serta peruntukan diterima sebagai penambaikan infrastruktur sedia ada.

“Sebanyak enam set penyejuk udara disumbangkan kepada Masjid Kapitan Keling; Masjid Alimsah Waley (sebuah set televisyen) dan Masjid Benggali (sebuah karpet untuk tujuan musyawarah serta kemudahan golongan wanita bersolat).

“Di samping itu, saya juga ingin berterima kasih kepada Penghulu dari Daerah Timur Laut kerana telah menyumbang idea untuk membaik pulih longkang di hadapan bilik gerakan ini, serta berjaya memperoleh peruntukan daripada MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) sebanyak RM39,950,” ulasnya sambil menekankan bahawa pembinaan bilik gerakan tersebut tidak akan berjaya tanpa bantuan serta sokongan daripada semua pihak.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar: MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video: CHAN KOK KUAN