Sumbangan Ibu Emas turut meliputi KADUN pembangkang

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

AIR PUTIH – Seramai 40,589 penerima Sumbangan Ibu Emas berjumlah RM100 baru-baru ini turut meliputi suri rumah sepenuh masa berusia di bawah 60 tahun dari 10 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) yang dikuasai pembangkang Pulau Pinang.

Seramai 1,561 wanita dipilih adalah dari KADUN Penaga, diikuti Bertam (775), Pinang Tunggal (1,256), Permatang Berangan (1,204), Sungai Dua (1,240), Teluk Air Tawar (607), Sungai Acheh (770), Bayan Lepas (872), Pulau Betong (1,091) dan Teluk Bahang (874).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, program tersebut adalah sebagai menghargai wanita berusia di bawah 60 tahun yang menjalankan tanggungjawab sebagai suri rumah sepenuh masa di negeri ini.

“Jumlah ini dilihat akan meningkat lagi berikutan sambutan yang menggalakkan terhadap program ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih dipetik daripada perutusannya sempena Pelancaran Program Ibu Emas Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Pada awal pagi hari penyampaian sumbangan Ibu Emas yang dijalalankan secara serentak di seluruh negeri Pulau Pinang, Guan Eng berada di Maybank Cawangan Air Itam untuk memastikan semua proses pembayaran kepada lebih 180 suri rumah membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Itam dan Air Putih berjalan dengan lancar.

Bagi fasa satu, seramai 10,628 penerima adalah dari Daerah Seberang Perai Utara, Daerah Seberang Perai Tengah (10,954), Daerah Seberang Perai Selatan (6,312), Daerah Timur Laut (8,402) dan Daerah Barat Daya (4,293).

Hadir sama, ADUN Air Itam, Wong Hon Wai.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 hingga kini telah memperkenalkan pelbagai Program Emas dengan menyalurkan sumbangan secara one-off kepada mereka yang layak.

Direkodkan, sebanyak RM120.36 juta telahpun disalurkan di bawah Program Emas sejak tahun 2008 hingga 2014.

“Dari tahun 2008 hingga 2014, sebanyak RM89.9 juta (RM89,895,100) untuk Warga Emas dan waris, RM14.7 juta (RM14,733,300) untuk Pelajar Emas, RM3,991,200 untuk Ibu Tunggal dan waris, RM9 juta (RM9,027,000) untuk Anak Emas dan RM2.7 juta (RM2,716,100) untuk OKU (melalui) JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), yang keseluruhannya berjumlah RM120,362,700,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Program Ibu Emas mula diperkenalkan pada awal tahun 2014 sebagai menghargai sumbangan wanita dalam memelihara institusi kekeluargaan di Pulau Pinang dengan jumlah pendaftaran sehingga 3 Oktober lepas adalah seramai 40,589 orang.

Kesemua 40,589 wanita berkenaan masing-masing menerima sumbangan kali pertama sebanyak RM100 daripada Kerajaan Negeri baru-baru ini.

Bagi suri rumah yang belum mendaftar, sila kunjungi pejabat daerah atau pusat khidmat ADUN masing-masing bagi tujuan pendaftaran.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);