Sumbangan keperluan sekolah, 170 pelajar terpilih terima manfaat

BATU UBAN – Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain berharap pemberian sumbangan barangan keperluan sekolah sama ada daripada Kerajaan Negeri mahupun pihak swasta dan badan bukan kerajaan dapat menaikkan sektor ekonomi negeri.

 

Menurutnya, sumbangan seumpama itu melibatkan perbelanjaan sekaligus membuatkan orang ramai turut berbelanja.

 

“Apabila rakyat berbelanja, ia akan menaikkan jualan para peniaga, misalnya di sini (Kompleks Bukit Jambul), yang mana semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) rata-rata mencari barangan berupakan makanan sahaja.

 

“Barangan selain daripada makanan mengalami kemerosotan (jualan) yang sangat teruk (dan) diharap dengan tawaran hujung tahun oleh pusat-pusat membeli-belah dapat merancakkan semula aktiviti ekonomi negeri,” ujar beliau ketika berucap pada Program Kembali Ke Sekolah 2021 yang diadakan di Kompleks Bukit Jambul, semalam.

 

Hadir sama, Pengerusi Badan Pengurusan Kompleks Bukit Jambul, K.H Chan dan wakil-wakil penaja.

 

Mengulas lanjut, Abdul Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung berharap para penerima yang terdiri daripada 170 pelajar terpilih di KADUN Batu Maung bersemangat memulakan sesi pembelajaran baharu tahun hadapan.

 

Setiap daripada penerima menerima barangan kelengkapan persekolahan bersama-sama baucar bernilai RM130 untuk pembelian keperluan persekolahan lain.

 

Dalam pada itu, Abdul Halim memaklumkan bahawa pihaknya turut memberikan sumbangan komputer riba kepada keluarga daripada kategori B40 terpilih di Batu Maung.

 

“Diharap melalui sumbangan tersebut, pembelajaran dalam suasana normal baharu dapat diteruskan selain merapatkan jurang digital antara kelompok B40, M40 dan T20,” katanya.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI