Sumbangan makanan dan minuman untuk pesakit Hospital Kepala Batas

Admin

BERTAM – Sebanyak 2,000 peket biskut dan 720 botol air mineral disumbangkan oleh Pasukan Pembasmian Kuman Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri kepada para pesakit di Hospital Kepala Batas.

Sumbangan disampaikan oleh Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri, Lay Hock Peng kepada Pengarah Hospital Kepala Batas, Dr. Norhasimawati Abdul Mutalib, di sini sebentar tadi.

Lay Hock Peng.

Hock Peng ketika ditemui memberitahu bahawa selain hospital, pihaknya juga sebelum ini telah menyalurkan pelbagai sumbangan seperti peralatan pelindungan diri (PPE) pensanitasi tangan, sayur-sayuran dan sebagainya kepada penduduk dan pelbagai agensi kerajaan di kawasan Seberang Perai Utara (SPU).

“Pada tahun ini sahaja sudah masuk enam kali kami salurkan sumbangan kepada pihak-pihak yang memerlukan di negeri ini terutamanya penduduk di SPU.

“Semua keperluan yang disalurkan ini adalah sebahagiannya menggunakan peruntukan daripada Pejabat Pegawai Khas Ketua Menteri di samping sumbangan daripada pelbagai agensi swasta.

“(Dan) sumbangan yang disampaikan ini tidak terhenti di sini sebaliknya akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang dan kalau boleh hendak merangkumi setiap rakyat di SPU,” katanya.

Pasukan sukalewan Pembasmian Kuman Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri bergambar dengan jentera yang digunakan untuk kerja-kerja sanitasi yang disumbangkan oleh MPKK sekitar SPU.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ooi Yong Wooi, Timbalan Pengarah Hospital Kepala Batas, Dr. Hor Chee Peng serta ahli-ahli Majlis Pengerusan Komuniti Kampung (MPKK) Guar Kepah yang juga anggota sukarelawan bagi pasukan berkenaan.

Mengulas lanjut Hock Peng menerangkan bahawa sebanyak 41 kerja-kerja pembasmian kuman telah dilaksanakan oleh persatuan berkenaan sejak ditubuhkan sejak Januari 2020.

“Pasukan ini mempunyai 20 sukarelawan yang terdiri daripada pegawai Pejabat Penyelaras Khas Ketua Menteri dan ahli-ahli MPKK dalam kawasan SPU.

“Kerja-kerja pembasmian kuman pula merangkumi kawasan awam seperti sekolah, pasar-pasar awam, jalan raya dan hostel pekerja asing sekiranya ada permintaan.

Cecair pensanitasi untuk diagihkan kepada penduduk di SPU.

“Terbaru, kita baru sahaja selesai menjalankan sanitasi di salah sebuah rumah penduduk di sini yang diarah menjalani kuarantin selepas salah seorang ahli keluarga itu disahkan positif,” jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, semua kerja-kerja pembasmian kuman dilakukan dengan penuh berhati-hati dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat demi memastikan keselamatan para sukarelawan terlibat.

“Selain itu, kita juga mengagihkan 2,000 botol pensanitasi tangan kepada penduduk di sini yang mana ia boleh diisi semua di pejabat ini. Langkah ini adalah bagi mengurangkan beban kerja pasukan sukarelawan kita,” ujarnya lagi.

Dr. Norhasimawati Abdul Mutalib.

Sementara itu, Norhasimawati menzahirkan ucapan penghargaan kepada Pejabat Pegawai Penyelarasan Khas Ketua Menteri di atas sumbangan yang disalurkan khas untuk pesakit-pesakit di hospital berkenaan.

Katanya, sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu memenuhi keperluan para pesakit.

“Makanan di hospital memang disediakan seperti makanan tambahan sarapan, makan tengahari dan makan malam, cuma dengan adanya bantuan ini ia dapat memenuhi keperluan makanan tambahan lain untuk para pesakit,” ujarnya ringkas.

 

Selesai penyerahan sumbangan, pasukan Buletin Mutiara turut dibawa meninjau persiapan pembinaan ICU Medan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama Hospital Kepala Batas.

Difahamkan, ICU Medan akan menempatkan 27 katil unit rawatan rapi (ICU) untuk menempatkan pesakit-pesakit kritikal COVID-19 di negeri ini dan dijangka akan beroperasi seawal-awalnya pada Isnin ini.

Ia berikutan kapasiti katil ICU di negeri Pulau Pinang pada masa ini telah mencapai tahap maksimum.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS