Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI & ZAINULFAQAR YAACOB
SUNGAI DUA – Seramai 1,442 nelayan pantai bagi kawasan Seberang Perai menerima bantuan pukat daripada Kerajaan Negeri sebagaimana dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lepas, kata Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini.
“Bantuan pukat ini akan diberikan dua kali setahun… sekarang dapat sekali bantuan, hujung tahun dapat satu kali lagi bantuan,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Bantuan Pukat di Dewan Besar Sungai Dua di sini baru-baru ini.
Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Datuk Mohd. Salleh Man (Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir merangkap Yang di- Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, MAINPP) turut berucap pada majlis itu.
Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Saodah Nawawi (Pegawai Daerah Seberang Perai Utara), Rohani Hassan
(Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan) dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (Pembangunan), Muhaili Md. Saad serta Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Ismail Ladin.
Sebelum itu, Dr. Afif memberitahu bahawa Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM1 juta tiap-tiap tahun bermula pada tahun lepas untuk memberi bantuan pukat kepada 2,981 nelayan pantai yang berdaftar dengan LKIM.
Manakala, Mohd. Salleh pun melahirkan harapan bahawa nelayan pantai dapat meningkatkan tangkapan ikan serta pendapatan harian masing-masing demi mendepani kenaikan kos sara hidup rakyat yang kian meningkat belakangan ini.
Dalam pada itu nelayan, M. Muniandy, 48, melahirkan rasa terharu selepas menerima sumbangan pukat daripada Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dalam satu majlis berasingan peringkat pulau baru-baru ini.
“Pemberian dua kali setahun ini sangat berguna kerana ianya berjaya menjimatkan hampir RM160 setahun duit untuk membeli pukat sahaja,” jelas Muniandy, nelayan dari Batu Maung.
Bagi seorang nelayan muda, Abdul Halim Abdul Wahab, 27, dari Sungai Gelugor, beliau amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi bantuan seumpama itu dua kali setahun.
“Walaupun percuma, kualiti pukat yang diberikan juga bagus, tahan lama dan harapan saya selepas ini mungkin Kerajaan Negeri dapat membantu sedikit sebanyak berhubung masalah enjin bot kerana kos pembaikannya juga tinggi,” ujarnya yang berkecimpung dalam bidang tersebut sejak berusia 12 tahun lagi.