Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – “Takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd. Fahmi Abdul Wahab yang telah kembali ke rahmatullah pada 21 April lalu,” ujar Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ikhlas Kerajaan Negeri berjumlah RM10,000 kepada balunya di sini baru-baru ini.
Balu kepada Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Dua tersebut, Che Sopiah Abdullah, 59, yang hadir bersama anak lelaki bongsunya kelihatan masih sedih bagaimanapun redha dengan pemergian Allahyarham.
Menurut Che Sopiah, arwah Mohd. Fahmi, 60, atau lebih mesra disapa Cikgu Fahmi menghembus nafas terakhir sekitar jam 3 pagi di Hospital Kepala Batas setelah mengalami kesukaran bernafas.
“Masa kat (di) hospital, anak yang bongsu tu (itu) mai (mari) panggil mama, makcik dah (sudah) agak dah. Makcik redha.
“Terima kasihlah semua sebab banyak membantu dan ambil berat,” ujar Che Sopiah yang menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang bekerja keras dan penyayang kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.
Allahyarham Cikgu Fahmi meninggalkan seorang balu dan tiga cahaya mata, Sofaiza Mohd. Fahmi, 32; Mohd. Faizam Mohd. Fahmi, 31 dan Mohd. Ikhwan Mohd. Fahmi, 28.
Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Sungai Dua, Kepala Batas.