Sumbangan RM100,000 pemuliharaan kuil terbesar, hargai peranan komuniti Sikh

GEORGE TOWN – Sebagai penghargaan kepada komuniti Sikh di Pulau Pinang, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyampaikan sumbangan bernilai RM100,000 kepada Wadda Gudwara Sahib George Town sebentar tadi.

 

Sumbangan tersebut adalah bertujuan menyiapkan projek pemulihan dan pemuliharaan kuil terbesar komuniti Sikh di negeri ini yang berusia 121 tahun.

 

“Saya berharap pihak swasta juga dapat tampil dalam merealisasikan pemulihan serta pemuliharaan Wadda Gudwara Sahib yang dianggarkan bakal mengambil masa 18 hingga 24 bulan untuk disiapkan.

 

“Bagi keperluan Gudwara lain, Kerajaan Negeri juga akan membantu dari masa ke masa.

 

“Dalam pada itu, Kerajaan Negeri sebelum ini turut menubuhkan Harmonico Corporation (HARMONICO) bagi membantu pertubuhan-pertubuhan agama selain Islam, dan menerusinya, ia (HARMONICO) dapat bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan kerana kita percaya bahawa semua sayangkan Pulau Pinang,” ujarnya ketika hadir ke Majlis Sambutan Hari Vaisakhi di sini.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Penasihat Persatuan Wadda Gudwara Sahib, Datuk Seri Utama Gurmit Kaur dan Pengerusi bagi Pemulihan & Pemuliharaan Wadda Gudwara Sahib George Town, Datuk Seri Mahinder Singh Dulku.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa peranan komuniti Sikh dalam masyarakat juga tidak dapat dinafikan walaupun jumlahnya adalah agak kecil.

 

“Semasa pandemik COVID-19, kebanyakan Gudwara di Pulau Pinang dan dalam negara tampil bagi membantu menyediakan keperluan kepada golongan yang terkesan.

 

“Ini juga termasuk ketika berlakunya banjir besar di Selangor dan Pahang, kita boleh lihat, sukarelawan-sukarelawan daripada komuniti Sikh bersama-sama rakyat Malaysia lain menyantuni mangsa daripada segi edaran makanan, pembersihan dan sumbangan dana.

 

“Kita amat menghargai semua usaha ini yang mana Wadda Gudwara Sahib George Town dan Gudwara Butterworth telah berperanan sebagai pusat pengumpulan barangan bantuan kepada yang memerlukan,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah dan Ekonomi & Komunikasi.

 

Turut mengulas, Jagdeep memberitahu bahawa bangunan Wadda Gudwara Sahib tersebut merupakan bangunan warisan Kategori Satu dan memerlukan kira-kira RM5.9 juta untuk menyiapkan proses restorasi.

 

“Sebagai bangunan warisan Kategori Satu, ia memerlukan perincian teliti daripada segi pemilihan bahan binaan agar status tersebut kekal terpelihara,’’ ulasnya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : LAW SUUN TING