BAYAN LEPAS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebentar tadi mengumumkan sumbangan RM20,000 kepada Persatuan Ambulans Komuniti Sungai Ara demi melancarkan lagi pengoperasian pertubuhan sukarela tersebut.
Menurut beliau, pengoperasian ambulans peringkat komuniti dilihat mampu membantu masyarakat mendapatkan pertolongan cemas dengan lebih cepat.
“Saya percaya dua unit ambulans di sini mampu memberikan perkhidmatan yang pantas kepada rakyat setempat ekoran salah satu sebabnya adalah kedudukan Hospital Pulau Pinang (HPP) yang terletak agak jauh di George Town dan juga aliran trafik tinggi yang pastinya menjadi cabaran kepada ambulans awam untuk tiba tepat pada masa sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
“Dengan wujudnya ambulans komuniti seperti ini, ia mampu memberikan perkhidmatan meluas termasuk di Bayan Baru dan kawasan sekitar Daerah Barat Daya yang mana kini memiliki populasi yang agak padat,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Ambulans Kecemasan Dan Pelancaran Pengumpulan Dana Operasi Ambulans Kecemasan dekat Jalan Sungai Ara 1 pagi tadi.
Hadir sama, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh; Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Pengerusi Persatuan Ambulans Komuniti Sungai Ara, Datuk Liew Chook San.
Kon Yeow dalam pada itu turut menyeru syarikat-syarikat multinasional di Zon Perindustrian Bebas Bebas (FTZ) serta barisan syarikat swasta supaya dapat turut membantu pertubuhan komuniti seperti ini dalam melicinkan operasi demi keselamatan komuniti setempat.
“Kita faham, beroperasi atas nama sukarela memerlukan sumber kewangan yang banyak, justeru, penglibatan semua pihak termasuk syarikat-syarikat di FTZ, ADUN, Ahli Parlimen mungkin boleh turut membantu agar perkhidmatan sebegini menjadi lebih baik di peringkat komuniti, malah pada peringkat Kerajaan Negeri, sebuah Unit Pengurusan Bencana juga telah ditubuhkan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK),” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah dan Ekonomi & Komunikasi.
Dalam pada itu, Chook San memberitahu bahawa setelah 11 bulan ditubuhkan, pihaknya telah memberikan bantuan respons kecemasan kepada lebih 600 kes-kes kecemasan di Pulau Pinang melibatkan 20 keanggotaan.
Difahamkan, selain kes kecemasan, Ambulans Komuniti Sungai Ara turut memberikan perkhidmatan melibatkan kes-kes COVID-19 serta misi bantuan banjir di Selangor dan Pahang baru-baru ini.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar & Video : DARWINA MOHD. DAUD