Sumbangan RM20,000 setiap tahun demi keperluan pengurusan Silver Jubilee Home

Admin

BATU UBAN – Semenjak tahun 1935, Silver Jubilee Home (SJH) komited melaksanakan pelbagai pembaharuan dalam meningkatkan fasiliti perkhidmatan pusat terbabit demi memenuhi keperluan kebajikan penghuninya.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pusat jagaan warga emas berkenaan memerlukan kira-kira RM180,000 kos perbelanjaan setiap bulan dengan kos tahunan mencecah RM2.16 juta.

Beliau mengakui bahawa pertubuhan tersebut tidak akan membangun sehingga ke tahap kini sekiranya tiada sumbangan daripada pihak-pihak berkaitan yang tidak jemu-jemu menghulurkan bantuan dan sumbangan setiap masa.

“Amat membanggakan apabila pusat ini mampu menguruskan perbelanjaannya hanya melalui sumbangan yang diterima.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita menyumbang sebanyak RM20,000 setiap tahun semenjak tahun 1980.

“Saya yakin, para penyumbang sanggup menghulurkan sumbangan adalah kerana mereka benar-benar yakin SJH diuruskan dengan profesional, efisien dan bersih… ini adalah contoh tadbir urus baik berlandaskan prinsip CAT (Cekap, Akauntabel dan Telus),” ujarnya pada Majlis Makan Malam Tahunan Silver Jubilee Home di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh;Tan Sri Datuk Seri Tan Kok Ping (Penasihat Eksekutif dan Pemegang Amanah SJH) dan Loh Yeow Boo (Pengerusi SJH).

Bermula dengan sebuah pusat penjagaan yang kecil, SJH kini telah dinaik taraf beberapa kali hingga menjadikannya sebuah pusat jagaan moden, lengkap dengan wad perubatan, pusat fisioterapi, fasiliti rekreasi dan kawasan hijau sekelilingnya.

Malah, SJH sejak tahun 2017 telah menubuhkan sebuah pusat kitar semula hasil kerjasama dengan Persatuan Tzu Chi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pemegang Amanah SJH menyifatkan penubuhan pusat kitar semula tersebut adalah langkah yang tepat bagi memastikan para penghuninya sentiasa ‘sibuk’ melakukan sesuatu.

“Ini adalah salah satu usaha baik dalam memastikan para penghuni di sini sentiasa aktif, dan pada masa sama menyumbang kepada masyarakat.” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI
Video : DARWINA MOHD. DAUD