BALIK PULAU – Bagi merapatkan ukhwah di antara pihak berkuasa tempatan (PBT) serta institusi masjid, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) melalui program, Pulau Pinang Bersih, Hijau, Selamat dan Sihat menyumbangkan alatan permainan kanak-kanak kepada Masjid Daerah Barat Daya baru-baru ini di sini.
Ahli Majlis merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pasar Malam, Pasar Pagi & Pasar Tani, Mohd. Taufik Sulong berkata, sumbangan melalui peruntukan bernilai RM10,000 tersebut adalah perintis ke arah merapatkan PBT dan institusi masjid di seluruh Pulau Pinang.
“Sumbangan ini akan menjadi perintis ke arah merapatkan ukhwah PBT dan institusi masjid. Malah, ia juga membuktikan bahawa MPPP seiring dengan institusi masjid bagi membina serta memperkasakan pembangunan rohani masyarakat dan tumpuan yang serius kepada pembangunan fizikal di kawasan Balik Pulau.
“Serentak itu, ia juga dilihat bakal mempelbagaikan peranan institusi masjid agar menjadi tumpuan dan kunjungan masyarakat kerana sebuah masjid moden perlu memenuhi keperluan rohani serta jasmani masyarakat.,” ujarnya ketika melawat alatan permainan yang disumbangkan di sini baru-baru ini.
Tambah Taufik, melalui sumbangan tersebut, ia bakal menjadi dorongan dan motivasi buat anak-anak kecil untuk datang ke masjid bersama-sama ibu bapa masing-masing.
“Diharap sumbangan ini dapat digunakan sebaik-baiknya, tiada sikap tidak bertanggungjawab dan vandalisme agar wang rakyat dapat dimanfaatkan sebaiknya dan kebersihan sekitar dijaga,” ujarnya.
Dalam pada itu, Imam Masjid, Ustaz Amir turut berterima kasih kepada MPPP dan berharap sumbangan yang diberikan mengakrabkan lagi hubungan PBT dan masjid.