Sumbangan wang ehsan subsidi air rumah ibadat diteruskan

Oleh: NOSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat memperuntukkan RM67,860 berhubung inisiatif pemberian sumbangan wang ehsan (subsidi penggunaan air) kepada 1,675 rumah-rumah ibadat di seluruh negeri Pulau Pinang pada tahun 2012.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Y.A.B. Lim Guan Eng dalam kenyataannya berkata, ianya adalah kelangsungan daripada pemberian yang telah diberikan sejak Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2009.

“Semua masjid, gereja dan kuil-kuil ibadat yang dikenakan bayaran bil air sebanyak RM50 atau kurang bagi tempoh satu pusingan (setiap dua bulan) akan menerima wang ehsan sebanyak RM5. Manakala, yang membayar melebihi RM50 akan diberikan sebanyak RM10.

“Lanjutan itu, sejumlah RM67,860.00 telah diperuntukkan bagi tahun 2012 kepada seluruh rumah ibadat di negeri ini bagi meringankan beban bil penggunaan air mereka,’’ katanya di sini baru-baru ini.

Beliau menambah, walaupun Kerajaan Negeri memberikan subsidi dan wang ehsan tersebut, rumah-rumah ibadat perlulah berjimat-cermat menggunakan air. Subsidi berkenaan adalah untuk meringankan beban ekoran kenaikan harga barangan harian, harga minyak dan juga tarif elektrik.

Mengulas lanjut, Guan Eng menyatakan bahawa PBAPP telah dipilih oleh Kerajaan Negeri untuk mengimplentasikan program ini.

“Tidak perlu membuat sebarang permohonan, sebaliknya, kesemua 1,675 rumah ibadat yang telah berdaftar dengan PBAPP secara automatiknya akan dikreditkan terus ke dalam bil air mereka,” ujarnya.