SEBERANG JAYA – Mahasiswa dan mahasiswi yang menerima bantuan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara digesa supaya pulang menyumbangkan ilmu kepakaran yang ditimba di tanahair sendiri.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Ustaz Saleh Man berkata, seruan tersebut adalah seiring dengan matlamat Ketua Menteri Pulau Pinang yang ingin merencanakan pemerintahan mengikut Khalifah Umar Abdul Aziz.
“Bukan senang bagi mencapai matlamat pemerintahan Umar Abdul Aziz, sebaliknya, ia memerlukan kepakaran di dalam penguasaan ilmu masing-masing dan yang paling penting adalah melaksanakan amanat diberikan dengan cemerlang tanpa ada unsur-unsur rasuah.
“Maipp menanti kepulangan pelajar kita dengan penuh harapan supaya mereka menjadi insan yang berguna pada masyarakat dan negara. Biar mereka pulang membawa ilmu yang boleh memperkayakan negeri serta dapat mencorakan remaja masa kini,’’ katanya pada majlis Penyampaian Bantuan Biasiswa Pelajar Luar Negara di sini baru-baru ini.
Seramai 166 anak jati negeri Pulau Pinang yang menuntut di beberapa buah universiti seperti di Al-Azhar, Jordan, Indonesia, Rusia dan Morocco telah menerima bantuan biasiswa yang keseluruhannya berjumlah RM887,000.
Kadar bantuan yang diberikan adalah mengikut kesesuaian pembelajaran, pengambilan baru dan juga tambang pulang kepada para pelajar yang telah berjaya menamatkan pembelajaran di universiti-universiti berkenaan.