Sungai landskap penting, nadi kehidupan komuniti lokal – Ketua Menteri

Admin
Jejalah Ketua Menteri ‘❤️Penang’ bersama-sama barisan pemimpin lain melawat lanskap semulajadi Sungai Rambai di sini pada 13 Ogos 2022.

PADANG LALANG – Jelajah Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow Ke Parlimen Bukit Mertajam dengan tema ‘❤️PENANG’ pada petang ini turut meluangkan masa melawat keindahan Sungai Rambai yang dianggap sebagai landskap alam semulajadi serta mempunyai pelbagai fungsi penting untuk komuniti lokal.

Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa Sungai Rambai suatu masa dahulu pernah terbiar dan dipenuhi sampah sarap, tetapi kini kian bersih serta menjadi tumpuan penduduk tempatan untuk aktiviti bersenam dan riadah.

“Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng yang juga Exco Pemerkasaan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam dan pasukannya (iaitu) Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ahli Majlis (bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai, MBSP) dan komuniti setempat yang sentiasa bekerjasama mengadakan aktiviti gotong-royong sejak tahun 2019,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong selepas menyempurnakan acara perasmian papan tanda ‘❤️ PENNAG’ di sini pada 13 Ogos 2022.

Selain Chong Eng, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah, Kamarul Haizal Koderat, dan dua Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan, Bernard Cheen Goon Hooi dan Rachel Teh Chuann Yien turut sertai jerayawara tersebut di sini.

CHONG Eng menjelaskan kepada Ketua Menteri mengenai aktiviti komuniti lokal di taman berkenaan tadi.

Jelajah Ketua Menteri ‘❤️PENANG’ Ke Parlimen Bukit Mertajam selepas itu turut melawat gelanggang bola keranjang Taman Tan Sai Gin bagi menyertai acara senaman ‘Qi Gong’ bersama-sama komuniti penduduk lokal di sini.

Buletin Mutiara difahamkan, kerja-kerja penambahbaikan gelanggang sedia ada bermula pada 2018 dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM346,713.78 yang mana dua pertiga kos dibiayai oleh ADUN dan Ahli Parlimen sementara baki sepertiga kos lagi ditanggung penduduk lokal.

Chong Eng dan Chee Keong sendiri menyempurnakan acara perasmian projek penambahbaikan gelanggang bola keranjang berbumbung tersebut pada hujung tahun 2020.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : DARWINA MOHD. DAUD