Sungai Perai Natural Walk pada 27 April terhad 600 penyertaan – Datuk Bandar MBSP

Admin
img 7015

SEBERANG JAYA – Acara Sungai Perai Nature Walk 2025 yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai pada 27 April 2025 (Ahad) bermula seawal 7.15 pagi di Jeti Nelayan Kampung Terus, Penanti terhad kepada 600 penyertaan berdaftar sahaja.

Sehubungan itu, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata mereka yang berminat bolehlah membuat pendaftaran menerusi pautan
https://howei.com/event_details/sungaiperainaturewalk2025.

“Acara tersebut bermula dari Jeti Nelayan Kampung Terus, Penanti, Seberang Perai Tengah ke Mee Udang Sri Tambang Sungai Dua, Seberang Perai Utara dan berpatah balik ke Jeti Nelayan Kampung Terus untuk menamatkan sesi berjalan santai ini.

“Penganjuran Pogram Sungai Perai Nature Walk adalah untuk melestarikan gaya hidup sihat di samping memberi pendidikan serta kesedaran terhadap masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan sungai dan memelihara alam semula jadi,” jelasnya semasa berucap dalam Mesyuarat Majlis Penuh Kali Ke-609 Bil.3/2025 di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya pada 20 Mac 2025.

Menurutnya lagi, Sungai Perai Nature Walk 2025 yang telah masuk kali kelima penganjuran sejak tahun 2018 diharap akan menjadi satu platform dalam mengetengahkan aktiviti ekopelancongan terkenal suatu hari nanti.

“Sungai Perai adalah salah satu landmark yang amat berpotensi untuk dibangunkan sebagai tarikan pelancongan baharu di Seberang Perai,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Baderul Amin turut merakamkan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam khususnya yang bermastautin di kawasan pentadbiran MBSP.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS