Suntikan vaksinasi HPV bantu kurangkan risiko kenser serviks sehingga 90 peratus

Admin
img 20240629 wa0053

BUKIT TENGAH – Virus Papiloma Manusia (HPV) telah menyumbang kepada 95 peratus kes jangkitan kanser serviks, yang merupakan kanser ketiga paling kerap dihidapi oleh golongan wanita di negara ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pencegahan awal menerusi pengambilan suntikan HPV mampu mengurangkan sehingga 90 peratus risiko kanser serviks.

“Adalah amat membimbangkan bahawa virus HPV ini bukan sahaja menyumbang kepada 95 peratus kes kanser serviks di Malaysia, malah juga boleh menyebabkan kanser-kanser lain seperti kanser pangkal hidung, kanser tonsil, kanser zakar dan kanser faraj.

“Oleh itu, program Vaksinasi HPV “Leaving No One Behind” Peringkat Negeri Pulau Pinang dilancarkan untuk memberikan suntikan HPV secara percuma bukan sahaja kepada wanita tetapi turut meliputi golongan lelaki secara percuma.

“Diharapkan melalui vaksinasi HPV ini, risiko kanser serviks boleh dikurangkan sehingga 90 peratus serta mengurangkan risiko untuk rakyat Pulau Pinang menghidapi kanser-kanser yang disenaraikan di atas,” katanya ketika berucap pada majlis berkaitan dekat Dewan MPKK Bayu Mutiara dekat sini sebentar tadi.

img 20240629 wa0054

img 20240629 wa0066

img 20240629 wa0065

img 20240629 wa0063

img 20240629 wa0068

img 20240629 wa0069

Turut hadir, Presiden Pertubuhan Wanita Mutiara (PWM) yang juga isteri kepada Ketua Menteri, Puan Tan Lean Kee; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze; Pengarah Urusan NCSM, Dr. M. Murallitharan dan Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Fazilah Shaik Allaudin.

Kon Yeow berkata, NCSM adalah institusi yang telah diberikan kelulusan untuk memperluaskan lagi usaha pemvaksinan bagi menoktahkan kanser serviks dalam negara melalui program Vaksinasi HPV “Leaving No One Behind”.

Menurut beliau, program itu menyasarkan golongan remaja (lelaki dan perempuan) warganegara Malaysia berumur sembilan hingga 30 tahun yang belum pernah menerima suntikan HPV.

“Keutamaan akan diberikan kepada golongan rentan dan memerlukan, selaras dengan Inisiatif Strategik C1 Visi Penang2030 iaitu membantu komuniti yang rentan dan mengurangkan ketaksamaan.

“Justeru, suka untuk saya mengingatkan kepada golongan berkemampuan serta syarikat-syarikat yang ingin memberi sumbangan kepada usaha murni ini untuk terus menghubungi NCSM.

“Hal ini supaya kerjasama antara pihak kerajaan, agensi swasta serta pemain industri dapat diperkukuhkan lagi,” serunya sambil menzahirkan penghargaan kepada NCSM dan PWM atas usaha murni tersebut.

Sementara itu, Murallitharan berkata bahawa pihaknya menyasarkan sebanyak 500 dos suntikan dapat diberikan sempena hari pertama pelancaran program berkenaan hari ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT