GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa kecekalan golongan wanita khususnya di Pulau Pinang meneruskan survival dalam cabaran normal baharu ekoran penularan pandemik COVID-19 adalah amat mengagumkan.
Beliau berkata, walaupun terkesan teruk akibat kehilangan pekerjaan dan pendapatan, namun semakin ramai wanita tampil lebih kreatif dengan meneroka bidang yang mampu menjana pendapatan sampingan terutama aktiviti perniagaan secara dalam talian.
“Malah, ada juga yang mencabar diri untuk mempelajari selok-belok bidang keusahawanan sebagai ikhtiar membantu pasangan serta keluarga terutamanya demi anak-anak,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui sejurus program mengedar kuntuman bunga kepada golongan wanita dekat Pasar Chowrasta di sini sebentar tadi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng: ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta anggota Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota.
Pada program tersebut, sebanyak 500 kuntum bunga teluki berserta 4,000 unit pelitup muka diedarkan kepada peniaga serta pengunjung wanita di sekitar Pasar Chowrasta sebagai simbolik sambutan Hari Wanita Sedunia pada tahun ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menjelaskan bahawa di Pulau Pinang pada tahun 2020, seramai 10,465 individu telah kehilangan pekerjaan berdasarkan laporan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan daripada jumlah itu seramai 5,474 orang adalah lelaki dan wanita (4,991 orang).
Menurut beliau, jumlah tersebut telah meletakkan Pulau Pinang di tempat ketiga selepas Selangor (35,450) dan Kuala Lumpur (28,089).
“Bagi dua bulan pertama tahun ini pula, seramai 795 individu di negeri telah kehilangan pekerjaan, dan daripada jumlah itu seramai 376 adalah wanita manakala lelaki (419) sekaligus meletakkan Pulau Pinang di tempat keempat selepas Selangor (5,183) diikuti Kuala Lumpur (4,150) dan Johor (1,110).
“Secara keseluruhan, sektor paling terkesan bagi negeri ini adalah pembuatan diikuti penginapan serta F&B, pemasaran dan bidang profesional serta teknikal,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.
Dalam pada itu, Kon Yeow menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa konsisten dalam menterjemahkan dasar dan program bagi mengangkat martabat golongan wanita di negeri ini.
“Sejak tahun 2011, agenda pembangunan serta pemerkasaan golongan wanita terus menjadi agenda penting melalui gerak kerja di bawah Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).
“Mengambil kira keperluan dan kepentingan semasa, Kerajaan Negeri telah meningkatkan peruntukan daripada RM1 juta sebelum ini kepada RM2.5 juta (2021) kepada PWDC bagi memperkasakan lagi agenda sedia ada.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah mengguna pakai Dasar Keterangkuman Gender agar dasar, program dan amalan yang dilaksanakan di negeri ini dapat memenuhi keperluan golongan wanita.
“Terkini adalah penganjuran Program Sidang Wanita yang turut menyediakan platform kepada golongan wanita untuk tampil bersuara menerusi bidang politik,” ulasnya.
Pada masa sama, Kon Yeow turut menyeru seluruh masyarakat untuk bersama-sama mencabar stereotaip gender di negara ini khususnya di Pulau Pinang.
“Bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia tahun ini yang bertemakan ‘Memilih Untuk Mencabar’, saya menyeru masyarakat di negeri ini untuk mencabar stereotaip gender, keganasan rumah tangga, gangguan seksual dan ketidaksaksamaan gender di peringkat pembuat keputusaan,” tegasnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD