BAYAN LEPAS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa kebanyakan kerja-kerja wajib membabitkan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) pada 25 April ini telah bermula dan kini bersiap siaga menunggu sambungan yang terakhir.
Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas soalan pemberita berhubung SWSI oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) pada hujung bulan ini.
“Mengenai operasi gangguan bekalan air, kerja-kerja wajib bakal dijalankan bermula jam 10 malam pada 25 April ini melibatkan pembaikan atau naik taraf secara serentak di 23 lokasi melibatkan 23 instalasi.
“(Dan) sebenarnya di beberapa lokasi, kerja-kerja awalan sudah pun bermula, manakala pada 25 April ini akan berlakunya sambungan terakhir.
“Jadi, kita yakin akan operasi ini kerana ia telah dirancang, dan akan dapat disempurnakan dalam tempoh waktu yang telah ditetapkan, (dan) jika pemulihan diawalkan, bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna dengan cepat,” jelasnya pada sidang media di Majlis Sambutan Aidilfitri Timbalan Ketua Menteri I dekat sini sebentar tadi.
Hadir sama, tuan rumah, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Dato’ Azrul Mahathir Aziz; Setiausaha Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Rosidi Hussain; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP; Mohamad Kairi Ghazalli dan Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf MAINPP, Abdul Mohsein Mohd. Shariff.
Mengulas lanjut, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa sekiranya kerja-kerja teknikal diselesaikan dalam tempoh 18 jam, bekalan air dapat dipulihkan pada hari berikutnya.
“Kerja-kerja teknikal dijangka berlangsung selama 18 jam (pada 25 April, 10 malam) sehingga keesokan hari, dan sekiranya boleh dihabiskan pada tempoh 12 jam, maka air boleh dipulihkan secara beransur-ansur.
“Jika kerja pemulihan berjalan lancar, maka kawasan-kawasan tertentu boleh mendapat bekalan air dalam tempoh 24 jam (jika 40 peratus dipulihkan) dan 48 jam (jika 80 peratus dipulihkan) pada hari yang berikutnya.
“Jadi, kita memang mengharapkan pemulihan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat daripada jadual ditetapkan pihak PBAPP,” ujarnya lanjut.
Pada sidang media bertarikh 27 Mac lalu, Kon Yeow turut memberitahu bahawa antara kerja-kerja yang terlibat adalah penyambungan akhir saluran paip berdiameter 1.35 meter (m) menyeberangi Sungai Perai dan kerja-kerja penting di rumah pam utama Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua serta menaik taraf sistem penghantaran air terawat.
SWSI pada April ini akan melibatkan pengoperasian henti tugas separa atau sebahagian LRA Sungai Dua.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT