SWSI tetap diteruskan walaupun ‘dibantah’ wakil rakyat tertentu – Ketua Menteri

43e3ee6d cb84 40db 8014 2bb146585213 (Dari kiri) Ketua Menteri, Jagdeep Singh Deo, Zairil Khir Johari. A. Rajendran dan K. Pathmanathan pada 8 Januari 2024 meluangkan masa melawat tapak parkir Stadium Bandaraya bagi melihat sendiri tahap persiapan logistik lori tangki air di sini.

DATUK KERAMAT – Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang telah siap siaga untuk menggerakkan kesemua 99 lori tangki air berkapasiti 40,000 hingga 50,000 liter air ke kawasan yang terjejas dek rancangan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) mulai 6 petang pada Rabu ini.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) pula telah menyediakan 97 tangki statik termasuk 19 tangki fleksi berkapasiti 24,000 liter, di samping tangki-tangki tambahan yang dibekalkan oleh sekalian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen (MP) di kawasan masing-masing.

899b5f2f 810b 40e3 bbe6 fbe7530aa62b
KETUA Menteri

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihaknya akan tetap meneruskan SWSI selama 72 jam sehingga 14 Januari ini sungguhpun ada ‘bantahan’ daripada wakil rakyat tertentu baru-baru ini.

“Semua (persiapan) sudah diaturkan, tangki-tangki pun sudah siap siaga untuk digerakkan, (begitu juga) tangki-tangki statik pun sudah diisi penuh air.

“Kalau saya mahu jadi popular, saya minta PBAPP tangguhkan operasi (SWSI) ini, tunggu Ketua Menteri baharu (dilantik) untuk pikul tanggungjawab ini,” ujarnya dalam sidang media selepas menyaksikan sendiri persiapan logistik tangki air di tapak parkir Stadium Bandaraya dekat sini pada 8 Januari 2024.

Sehubungan itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut menyatakan bahawa pihaknya berharap kira-kira 590,000 pengguna terjejas tetap akan mendapat bekalan air dalam tempoh ‘krisis’ ini.

“Operasi (SWSI) ini akan melibatkan kira-kira 80 peratus pengguna, ada kawasan yang tidak terjejas sebab mereka mendapatkan belakan air selain dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua termasuk sistem di Batu Feringghi, Air Itam, Bukit Panchor dan Tok Alang dekat Bukit Mertajam,” jelasnya lagi yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Selain itu, Kon Yeow turut memberi respons mengenai syor penjawat awam turut diberi kelonggaran bekerja dari rumah – seperti pelaksaaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR kepada murid sekolah – dalam tempoh SWSI ini.

”Dalam krisis (SWAI) sedemikian, penjawat awam perlu turun ke lapangan dan padang, bukan berada di rumah untuk membantu dalam apa bentuk juga,” respons beliau lagi.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PBAPP, K. Pathmanathan memberitahu bahawa setakat ini, Pulau Pinang turut menerima 15 lori tangki tambahan dari luar negeri Pulau Pinang dengan kebenaran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo yang juga ADUN Datuk Keramat merangkap Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi; Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran.

Pada 8 Disember tahun lepas, Zairil dan Pathmanathan mengumumkan rancangan gangguan bekalan air berjadual akan dilaksanakan bermula pada 10 hingga 14 Januari 2024.

Zairil yang juga ADUN Tanjung Bunga memberitahu bahawa tujuan Kerajaan Negeri membuat pengumuman tersebut pada tempoh sebulan sebelum ini adalah supaya semua pengguna di negeri ini mempunyai masa yang cukup untuk membuat persiapan berwajib di premis masing-masing.

Difahamkan, tujuan hakiki PBAPP melaksanakan SWSI adalah bagi menggantikan dua unit injap 1,200 milimeter (mm) dekat LRA Sungai Dua di samping kerja-kerja pembaikan lain di 22 lokasi sekitar Pulau Pinang yang akan mengambil masa kira-kira kira-kira 24 jam pada 10 Januari nanti.

Dalam pelan pemulihan bekalan air berperingkat selepas itu, PBAPP menjangkakan 33 peratus daripada 590,000 pengguna terjejas akan pulih dalam tempoh 48 jam diikuti 84 peratus pengguna pulih dalam tempoh 72 jam.

Baki 16 peratus pengguna terjejas lain akan menerima bekalan air dalam tempoh 96 jam (kerana) mereka di kawasan hujung paip agihan (EoL) dan di kawasan tinggi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : ALISSALA THIAN