Syarikat dan kilang perlu perketatkan SOP – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Semua syarikat dan kilang di negeri ini diminta supaya memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) masing-masing bagi membendung penularan pandamik COVID-19.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menjelaskan bahawa langkah itu bukan sahaja perlu dilaksanakan di tempat kerja malah termasuk juga aspek pengangkutan dan tempat penginapan para pekerja.

“Semua ini perlu diberikan perhatian untuk memastikan keselamatan pekerja-pekerja kilang bermula dari rumah, semasa dalam perjalanan dan juga di tempat kerja.

“Oleh itu, kami berharap agar semua tindakan yang telah diambil oleh pihak syarikat dan kilang mampu membendung penyebaran COVID-19 di negeri ini,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain dan Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng.

Abdul Halim Hussain.

Tambah Kon Yeow, beberapa kilang yang merekodkan kes positif COVID-19 juga diarahkan tutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilaksanakan.

Menurut beliau, langkah itu adalah satu keperluan bagi mengelakkan kes positif COVID-19 dalam kalangan pekerja di sektor perkilangan menjadi semakin tidak terkawal yang mana ia bakal memberikan kesan lebih besar kepada industri.

“Semua ini adalah usaha yang perlu dilakukan untuk meratakan lengkung, membendung serta mengurangkan jangkitan COVID-19.

“Dan dalam proses ini, sudah pasti akan mengganggu proses pengeluaran untuk beberapa hari atau beberapa minggu.

“Ini adalah demi kebaikan negeri Pulau Pinang kerana jika kita tidak dapat mengawal penyebaran wabak ini maka saya rasa kesannya jauh lebih besar yang mana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin terpaksa dilaksanakan semula dan ini menyebabkan harga barang menjadi semakin meningkat,” tegasnya.

Dalam pada itu, Abdul Halim turut mengingatkan ejen-ejen pengendali hostel pekerja agar memperketatkan lagi SOP masing-masing bagi mengelakkan jangkitan kes COVID-19 dalam kalangan pekerja kilang.

“Semasa PKP saya dan Y.A.B. Ketua Menteri sendiri telah melawat beberapa kilang dan setakat ini kita berpuas hati kerana kita tidak nampak ada kilang yang mengabaikan pematuhan SOP.

“Jadi, kita harap semua kilang dapat memastikan pematuhan SOP yang ketat ini dapat dikekalkan,” ujarnya.

Menjawab soalan pemberita, Kon Yeow memberitahu bahawa Pulau Pinang merupakan negeri pertama melaksanakan pemotongan gaji Exco dalam usaha melawan pandemik COVID-19.

“Apa yang kita lakukan pada bulan April lalu adalah ahli-ahli Exco menyumbang satu bulan gaji dan tindakan ini diikuti oleh ADUN-ADUN daripada pihak kerajaan serta pembangkang yang turut menyumbang 30 peratus daripada gaji mereka.

“Sumbangan yang diberikan sama ada melalui agihan barangan kepada golongan terkesan atau membekalkan pakaian perlindungan diri (PPE) dan lain-lain peralatan kepada agensi-agensi yang memerlukan.

“Contohnya, baru-baru ini kita (Kerajaan Negeri) memberikan sumbangan khemah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk sekatan jalan raya supaya anggota polis boleh bertugas dalam suasana lebih selesa.

“Itu antara sumbangan yang boleh kita gunakan apabila ada pihak yang menyumbang kepada Tabung Penang Lawan Covid-19,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : DARWINA MOHD. DAUD