Oleh : A INUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Malaysia amnya perlu melahirkan lebih ramai lagi tenaga kerja mahir dalam usaha menarik pelabur asing untuk meningkatkan jumlah pelaburan langsung asing (Foreign Direct Investment – FDI), kata Duta Jerman ke Malaysia, Dr. Guenter Georg Gruber.
Dr. Gruber berkata, Malaysia mempunyai sumber asli dan potensi terbaik untuk menarik minat pelabur jika dibandingkan dengan Jerman yang tidak mempunyai sumber asli.
“Walau bagaimanapun di Jerman, kami mempunyai pengalaman beratus-ratus tahun dalam menggabungkan latihan teori dan praktikal melalui program perintis kerana kami tahu bahawa tenaga kerja mahir adalah lebih penting daripada teori dalam akademik,” katanya ketika mengadakan kunjungan hormat di Pejabat Ketua Menteri di sini baru-baru ini.
Beliau memberitahu, jumlah pekerja mahir berkurangan dalam negara menjadikan pelabur terpaksa membawa masuk tenaga kerja mahir dari luar sehingga menyebabkan ia lebih mahal untuk syarikat – syarikat berpengkalan di sini.
“Malaysia adalah lokasi yang strategik dan pesat membangun dalam kalangan negara-negara di ASEAN.
“Tetapi ramai pelabur berpotensi masih menghadapi masalah dalam mendapatkan pekerja mahir,” jelas Dr. Gruber.
Tambahnya, kekurangan tenaga kerja mahir turut melibatkan pengendalian teknikal dan kejuruteraan.
Nyatanya, menurut laporan The Grant Thornton International Business pada bulan April lalu menyatakan bahawa 62 peratus dalam lapangan perniagaan di Malaysia mendakwa sukar mendapatkan tenaga kerja mahir.
Bagaimanapun, Dr. Gruber berkata, hubungan dua hala antara Malaysia dan Jerman semakin kukuh dan menjangkakan pelaburan Jerman akan mencecah 11 bilion Euro tahun ini.
“Syarikat-syarikat dari Jerman masih lagi berminat untuk melabur di Malaysia terutamanya di Pulau Pinang kerana setanding dengan apa yang diharapkan oleh pelabur luar.
“Malaysia terutamanya Pulau Pinang mempunyai peluang yang cerah dalam ASEAN Economic Community 2015 dan Free Trade Agreemant bersama Kesatuan Eropah,” ujarnya.
Pada masa sama, Dr. Gruber turut memberi jaminan bahawa lebih banyak syarikat-syarikat berskala kecil dan sederhana akan memilih Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan.
Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng turut menyatakan Jerman merupakan pelabur keempat terbesar di Malaysia dan menjadikan Pulau Pinang sebagai lokasi pilihan utama pelabur dari Jerman.