Syarikat swasta dilantik turun banting haram, penguatkuasa tumpu tugas khas

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

ONG Ah Teong (tiga dari kiri), Ahli Majlis MPPP Lim Siew Khim ( dua dari kiri) dan Ramleh Bee Asiahoo (empat dari kanan) menyerahkan ves dan alatan kepada pekerja BHO, baru-baru ini.
ONG Ah Teong (tiga dari kiri), Ahli Majlis MPPP
Lim Siew Khim ( dua dari kiri) dan Ramleh Bee
Asiahoo (empat dari kanan) menyerahkan ves
dan alatan kepada pekerja BHO, baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Sebuah syarikat swasta, BHO Enterprise (BHO) telah dipilih di antara 21 syarikat yang menghantar sebut harga bagi membida tender menurunkan banting haram di sekitar kawasan pulau oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), di sini baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Gantian Tetap Kesihatan Awam MPPP, Ong Ah Teong berkata, pihak majlis telah membuka tender kepada syarikat swasta dan orang awam pada Oktober tahun lepas dan kata putus telah dicapai bagi melantik BHO bermula penghujung bulan Februari lalu.

“Semua kerja menurunkan banting haram yang selama ini membebani skop kerja penguatkuasa akan diserahkan kepada mereka (BHO). Ini membolehkan bahagian penguatkuasa majlis menumpukan sepenuhnya kepada kerja-kerja penguatkuasaan seperti kapit roda kenderaan di kawasan larangan, membasmi peniaga haram, kawasan letak kereta haram dan sebagainya,’’ katanya pada majlis sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Tambahnya, pemantauan akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan kerja-kerja menurunkan banting dijalankan secara menyeluruh dan berkesan.

“Kita (MPPP) telah menetapkan agar BHO menurunkan banting yang tidak mempunyai permit, tamat tempoh dan tidak mengikut syarat ditetapkan. Mereka akan dibayar RM1.40 bagi setiap banting yang diturunkan dan diserahkan kembali kepada MPPP untuk dikitar semula serta dijadikan beg oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh,’’ jelasnya.

Ah Teong berkata, bagi syarikat yang melanggar segala peraturan telah ditetapkan pula akan dikenakan kompaun sebanyak RM250 bagi setiap jalan yang dipasang banting.

“Tahun sudah (2011), menunjukkan angka tertinggi iklan haram yang dikenalpasti oleh pihak majlis iaitu sebanyak 65,509 keping. Setiap tahun, terdapat peningkatan iaitu sejak 2009 (30,866), 2010 (58,994) dan dari bulan Januari hingga Februari 2012 (7,804). Pada tahun 2011, anggaran kutipan bayaran permit banting yang diterima MPPP adalah sebanyak RM1.01 juta manakala sepanduk (RM165,616),’’ ujarnya.