Syor kembalikan 20 peratus hasil negeri akan diketengahkan dalam Mesyuarat Menteri Besar, Ketua Menteri

Admin
img 9781

GEORGE TOWN – Syor supaya Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk memulangkan kembali 20 peratus hasil cukai yang dikutip kepada negeri-negeri akan diketengahkan dalam mesyuarat bersama-sama Ketua Menteri, Menteri Besar dan Premier pada bulan Julai depan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, syor itu akan diketengahkan sekiranya dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang nanti.

Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkenaan berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 30 Mei 2024.

“(Saya akan) membawa perkara ini dalam mesyuarat MMK (Mesyuarat Exco), sekiranya direstui, saya juga akan membawa ke Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Saya akan membangkitkan perkara yang berlaku dalam (perbahasan) Dewan Undangan Negeri (Pulau Pinang) yang mana kita (negeri-negeri) mahu melihat suatu perubahan dari segi perkongsian hasil dengan Kerajaan Persekutuan,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa proses meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan desentralisasi fiskal atau hasil yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan diagihkan kembali kepada negeri-negeri merupakan salah satu opsyen yang boleh dilaksanakan.

Satu lagi opsyen yang lebih mudah untuk dilaksanakan, menurutnya lagi, adalah dengan merombak dasar berkaitan selepas mendapat persetujuan kesemua 14 negeri termasuk Sarawak dan Sabah.

“Perdana Menteri boleh menyatakan: baiklah, memandangkan semua negeri nak memohon (pengembalian sejumlah hasil yang dikutip dari negeri masing-masing), maka suatu keputusan dasar boleh dibuat; mulai tahun 2025, kita akan ‘melepaskan’ beberapa peratus (daripada hasil cukai yang telah dikutip dari negeri masing-masing kepada negeri berkenaan),” jelasnya lagi.

Dalam Sesi Soal Jawab Lisan semalam, Kon Yeow mensyorkan Kerajaan Persekutuan memulangkan kembali sekurang-kurangnya 20 peratus atau kira-kira RM1.6 bilion dari sumber hasil cukai semasa yang berjaya dikutip oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dari negeri Pulau Pinang.

Syor itu diutarakan ketika rata-rata ADUN mengambil bahagian membahaskan isu Kerajaan Negeri mengalami kekangan kewangan semasa sampai terpaksa melaksanakan ‘penjajaran’ peruntukan tahunan yang melibatkan 25 agensi, anak syarikat dan badan berkanun negeri.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB