AIR PUTIH – Kerajaan Persekutuan dan syarikat konsesi berkenaan perlu saling berbincang termasuk berkaitan pampasan jika mahu memansuhkan Tol Plaza Sungai Nyior sekarang.
Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian menjelang tengah hari tadi ketika mengulas dakwaan terbaru pembangkang Pulau Pinang berhubung kegagalan memansuhkan tol Plaza Sungai Nyior sebagaimana dijanjikan pada Pilihan Raya Umum PRU-12 (2008).
“Cuma menunggu pertimbangan sahaja (peringkat Kerajaan Persekutuan) termasuk hal pampasan…itu bukan dalam bidang kuasa negeri.
“(Perbincangan soal pampasan jika Tol Plaza Sungai Nyior) ini antara Kerajaan Persekutuan dan syarikat konsesi,” responsnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang seusai menyertai suatu sesi temu bincang di sini pada 4 Jun 2023.
Kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang itu lagi, gabungan parti pemerintah belum memuktamadkan sama ada untuk memasukkan kembali hasrat memansuhkan Tol Plaza Sungai Nyior itu dalam manifesto bersama sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang kian kunjung tiba.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan Parti Gerakan Pulau Pinang mendesak DAP yang mengetuai Kerajaan Negeri kini memberi penjelasan berhubung kegagalan memansuhkan Tol Plaza Sungai Nyior seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Portal berita arus perdana sama turut melaporkan pemimpin pembangkang Pulau Pinang turut menzahirkan rasa kecewa kerana sehingga kini plaza tol berkaitan masih beroperasi dengan kenaikan kadar bayaran (tol) sejak tahun 2015, hatta membebankan rakyat kebanyakan.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut memberi respons berhubung isu beberapa kawasan sekitar Pulau Pinang yang masih menghadapi risiko banjir kilat kini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri dengan kekangan kewangan yang ada sejak 10 tahun lepas memang gigih melaksanakan projek menaik taraf sistem perparitan serta (projek-projek) di bawah rancangan tebatan banjir (RTB) berwajib.
“Dalam 10 tahun kebelakangan ini, kita (Pihak Berkuasa Negeri) memdapati impak banjir di negeri Pulau Pinang ditangani serta diminumkan, walaupun masih berlaku dalam kawasan-kawasan berkenaan.
“Ada satu kawasan yang didapati masih berlaku (risiko) banjir iaitu sekitar Sungai Pinang yang (mana projek RTB) banyak kali ditangguhkan (oleh Kerajaan Persekutuan).
“Terkini, dikatakan oleh JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), akan bermula projek (RTB Sungai Pinang) ini dalam tahun ini juga.
“Sehingga kini, kita (PH) tidak berhenti memperjuangkan projek RTB Sungai Pinang (supaya disegerakan),” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.
Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi juga menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan hari ini mempunyai kemampuan dari sudut kewangan untuk meningkatkan kos RTB sedia ada bagi mengurangkan lagi risiko banjir kilat di sekitar kawasan tadahan dekat lembangan Sungai Pinang.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS