Syor sediakan bilik tukar lampin bayi mesra ibu bapa di tempat awam

Admin
screenshot Screenshot

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee mengesyorkan agar menyediakan bilik ataupun kemudahan tukar lampin bayi di tempat-tempat awam di negeri ini.

Beliau berkata, terdapat sesetengah tempat awam khasnya tempat rekreasi tidak menyediakan kemudahan tersebut.

“Pada pendapat saya, lokasi seperti di Gurney Bay, Taman Areca serta tempat rekreasi yang lain perlu menyediakan ruangan khas untuk menukar lampin bayi.

“Umum mengetahui tempat berkenaan sering dikunjungi seisi keluarga yang terdiri daripada ramai kanak-kanak kecil dan kebanyakan tempat tiada kemudahan tersebut.

“Oleh itu, saranan saya adalah supaya Kerajaan Negeri mewajibkan bilik atau ruang untuk menukar lampin bayi di setiap lokasi yang bersesuaian dan mesra ibu bapa serta dilengkapi fasiliti dan alatan yang bersesuaian,” jelasnya.

Selain itu, beliau juga menyarankan supaya kemudahan tukar lampin bayi turut disediakan di tandas lelaki di pusat membeli-belah memandangkan golongan bapa juga tidak terkecuali bertanggungjawab melaksanakan kerja pembersihan bayi.

“Kemudahan bilik tukar lampin bayi amat penting dan perlu disediakan bukan sahaja boleh diakses oleh golongan ibu, malahan juga golongan bapa terutamanya di tempat-tempat awam.

“Tandas awam yang sedia ada kini di (pusat membeli-belah) terletak di tandas wanita dan tidak dikhususkan untuk bapa, hal ini telah menyebabkan golongan bapa sukar menukar lampin bayi dan menimbulkan ketidakselesaan pengguna lain.

“Justeru, perkara ini dibangkitkan adalah demi memberi penekanan serta melindungi sesebuah institusi keluarga selari dengan Visi Penang2030 dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” katanya semasa sesi perbahasan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 dekat sini , semalam.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR