Syor Zon Kewangan Khas wajar dikaji, perlu sokongan Pusat – Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang hari ini perlu kajian lebih komprehensif sebelum memutuskan untuk mewujudkan Zon Kewangan Khas di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya menyambut baik syor Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam untuk mewujudkan Zon Kewangan Khas seperti di Forest City, Johor.

“Zon Kewangan Khas dilihat sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan dan merancakkan industri pelaburan, pertumbuhan dan aktiviti ekonomi sesebuah bandar atau kawasan.

“Hal ini kerana kos-kos seperti pengurusan, pendidikan, kesihatan, perniagaan adalah lebih berpatutan di kawasan yang dikategorikan sebagai Zon Kewangan Khas dengan bantuan dan inisiatif daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Namun begitu, Kerajaan Negeri memerlukan kajian yang lebih komprehensif sebelum memutuskan untuk mewujudkan Zon Kewangan Khas di Pulau Pinang,” jelasnya semasa menyampaikan ucapan penggulungan Exco sempena Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 23 November 2023.

Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi itu lagi, sokongan Kerajaan Persekutuan seperti pelbagai insentif percukaian adalah sangat penting sekiranya zon tersebut maju diwujudkan di Pulau Pinang.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow menyatakan bahawa pentadbirannya melalui InvestPenang melaksanakan Hand Holding Programme iaitu program khusus kepada pelabur baharu yang mahu beroperasi di Pulau Pinang dengan diberikan khidmat nasihat, sokongan serta fasilitasi untuk memudahkan penubuhan syarikat perniagaan, mendapatkan lesen-lesen yang berkaitan, membina atau menyewa bangunan kilang yang baharu dan memulakan operasi pengilangan.

“(Hand Holding Programme) ini adalah untuk memastikan ease of doing business, dengan izin di Pulau Pinang kekal tinggi berbanding dengan negara-negara yang lain seperti Singapura, Vietnam, Thailand, Indonesia dan sebagainya,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan sebagai menjawab perkara yang dibangkitkan ADUN Batu Uban, A. Kumaresan.

Tidak sekadar itu sahaja, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) komited terhadap evolusi infrastruktur demi membentuk lanskap pelaburan yang kondusif.

“Sehingga kini, 11 fasiliti pejabat dan prasarana telah dibina untuk memenuhi permintaan syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri ekonomi digital, antaranya ialah GBS@Mayang dan GBS@Mahsuri oleh Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Negeri Pulau Pinang (PDC) dan beberapa projek swasta seperti One Precinct, Livingston Tower dan sebagainya,’’ ulasnya.

Selain itu, beliau berkata PDC juga sedang dalam pembinaan dua bangunan pejabat iaitu GBS By the Sea dan GBS Tech Space terletak di Bayan Lepas yang mana kedua-dua bangunan pejabat ini bakal menyediakan luas lantai sebanyak 360,000 kaki persegi, dilengkapi lebih daripada 800 plot parkir kereta bertingkat.

“Fasiliti ini dijangka siap pada penghujung tahun 2024 yang mana akan membuka tambahan lebih kurang 2,000 sehingga 3,000 peluang pekerjaan baharu,” jelasnya lanjut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : LAW SUUN TING