Syukur rakyat ‘lihat’ pembangunan dan pembaharuan dibawa Kerajaan Negeri – Kon Yeow

JAWI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengakui bahawa selama hampir tiga penggal Pulau Pinang berada di bawah kepimpinan Pakatan Harapan (PH), terdapat sedikit sebanyak kekurangannya, namun ia adalah cabaran yang sentiasa cuba diatasi oleh pihak Kerajaan Negeri.

 

 

Walau bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya bersyukur kerana rakyat khususnya di Seberang Perai melihat kepada pembangunan dan pembaharuan yang dilakukan dalam tempoh tersebut.

 

 

“Kita (Kerajaan Negeri) bukanlah yang sempurna, tetapi kita bersyukur rakyat juga lihat pembangunan dan pembaharuan yang kita laksanakan.

 

 

“Usaha sedikit demi sedikit dan boleh berbangga dengan pembangunan sosio ekonomi khususnya di kawasan Seberang Perai yang mana menyaksikan pembangunan sektor industri terutamanya di Batu Kawan dan persekitarannya termasuk Bukit Minyak, Taman Sains Pulau Pinang dan Bukit Tengah.

 

 

“Ini dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak kita, dan itulah hasrat yang dilaung-laungkan oleh Kerajaan Negeri khas kepada rakyat yang memerlukan pekerjaan serta latihan-latihan perlu,” ujarnya pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi dekat Kampung Bagan Buaya, Nibong Tebal di sini malam ini.

 

Turut hadir, Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye; ADUN Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen dan barisan pimpinan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bagan Buaya.

 

 

Pada majlis sama Kon Yeow menyifatkan bahawa sambutan majlis rumah terbuka yang menjadi tradisi merupakan wadah terbaik untuk membina hubungan dua hala antara pemimpin dan rakyat yang selama ini berganding bahu dalam memastikan agenda pembangunan yang lebih makmur serta sejahtera.

 

 

“Melalui penganjuran program rumah terbuka seperti ini, ia dapat memupuk persefahaman dan silaturahim antara masyakart, malah turut memberi galakan kepada sesetengah keluarga yang menghadapi cabaran serta kekurangan ketika ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

 

 

Selain sajian makanan yang menyelerakan, masjlis turut diserikan dengan pertunjukkan bunga api, kugiran dan sumbangan duit raya kepada golongan kanak-kanak.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : SITI NURATIKAH RAHMAT