BAGAN DALAM – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sendiri membiayai kos pemajuan 707 unit kediaman kos sederhana rendah (KSR) kira-kira RM121.4 juta, dijangka siap sepenuhnya pada Februari tahun depan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, pembiayaan itu mampu dilaksanakan kerana Kerajaan Negeri mempunyai Tabung Rumah Awam dan Rumah Mampu Milik sejumlah RM500 juta demi memastikan unit kediaman yang diperlukan rakyat
mencukupi.
“RM500 juta disediakan oleh Kerajaan Negeri dan ini suatu jumlah yang besar sekali dalam sejarah negeri Pulau Pinang, kalau di negeri lain tidak ada tabung peruntukan sebesar ini.
“Mana ada Kerajaan Pusat beri RM500 juta ini, RM500 juta ini adalah hasil untung (lebihan kewangan) Kerajaan Negeri tiap-tiap tahun,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam Majlis Penyempurnaan Struktur Bangunan Projek RMM Jiran Residensi dekat Kampung Jawa di sini baru-baru ini.
Turut berucap, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan.
Difahamkan, satu blok dua menara bangunan Jiran Residensi tersebut terdiri oleh 707 unit rumah KSR, iaitu 354 buah di Menara A dan Menara B (353).
Di Menara A, terdiri daripada 35 tingkat, dengan 204 unit, luas lantai 1,000 kaki persegi dan disediakan satu parkir kereta, ditawarkan pada harga RM250,000 sebuah.
Juga terdapat 105 unit lain dengan luas lantai 805 kaki persegi yang ditawarkan pada harga RM200,000 sebuah.
Di Menara B, terdiri daripada 25 tingkat, 353 unit KSR dengan luas lantai 700 kaki persegi yang ditawarkan pada harga RM72,500 sebuah.
Sebanyak 15 lot kedai tiga tingkat, 4 tingkat parkir, sebuah dewan serba guna dan surau merupakan antara komponen lain dalam projek pembangunan di Jiran Residensi tersebut.
Sejak tahun 2008, sejumlah 18,387 unit kediaman RMM yang telahpun diluluskan untuk pembangunan sektor swasta di Pulau Pinang.
Itu, tidak termasuk 21,535 unit kediaman kos rendah (KR) dan KSR lain adalah kira-kira empat kali ganda berbanding 5,154 unit kediaman jenis sama yang dibina ketika era Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN) terdahulu.