GEORGE TOWN – Prestasi kutipan zakat oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) menunjukkan trend meningkat setiap tahun sejak 2008.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata peningkatan tersebut didorong oleh tadbir urus yang cekap dan pembangunan ekonomi yang mampan di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang.
“Malahan data telah menunjukkan sejak Kerajaan Negeri diambil alih pada 2008 oleh Pakatan Rakyat, prestasi kutipan zakat melonjak naik dari tahun ke tahun.
“Data menunjukkan bahawa kutipan zakat pada tahun 2008 adalah sebanyak RM42 juta dan melonjak kepada RM76.5 juta (2019), mencapai hampir 50 peratus,” katanya pada sesi penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini 23 November 2023.
Mohamad berkata, prestasi kutipan zakat pada tahun 2022 pula adalah sebanyak RM150.5 juta berbanding RM147.7 juta (2021).
“Selain itu, prestasi pembayar zakat harta pada tahun 2022 turut mencatatkan peningkatan sebanyak 77,895 orang berbanding 75,746 orang (2021).
“Kejayaan ZPP menguruskan kutipan dan agihan zakat di Pulau Pinang merupakan manifestasi profesionalisme agensi di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk memberi manfaat kepada ummah,” katanya yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan & Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat.
Selaras dengan Visi Penang2030 kata Mohamad, ZPP telah melaksanakan agenda pendigitalan dalam usaha mengungguli dan mewujudkan keseimbangan sosioekonomi ummah melalui sistem pengurusan zakat yang profesional dan berteknologi.
“Beberapa inisiatif strategik telah dibangunkan oleh ZPP bagi menggerakkan inovasi dalam operasi kutipan dan agihan zakat seperti portal zakatpenang2u.com dan aplikasi MaiZAKAT.
“Kedua-dua inisiatif ini telah memacu kutipan zakat secara optimum dan permohonan agihan zakat yang lebih efisien,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Mohamad berkata, Wakaf Pulau Pinang (WPP) merupakan sebuah lagi agensi penuh milik MAINPP yang mencatatkan prestasi memberangsangkan.
“WPP mencatatkan kutipan wakaf tunai tertinggi pada tahun 2022 iaitu sebanyak RM3,510,033.75 berbanding RM 329,725.00. 31 (2019).
“Selain itu, pembangunan hartanah wakaf di Pulau Pinang mempunyai beberapa lokasi seperti Wakaf Alimsah Walley Lebuh Chulia, Wakaf Kapitan Keling Lebuh Buckingham, Wakaf Setee Aisah Seberang Jaya.
“Pangsapuri Wakaf An Nur Teluk Air Tawar, Pangsapuri Wakaf Siti Hajah Norijah Sungai Nibong Sungai Nibong dan Pangsapuri Wakaf Mohamed Hashim Seberang Jaya juga antara hartanah yang dibangunkan WPP,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD