GEORGE TOWN – Kejohanan Tertutup Mendayung Pulau Pinang 2022 yang membuka tirai saingan pada awal pagi tadi menerima penyertaan seramai 313 orang dari 10 negeri dan lima negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, semasa menyempurnakan acara perasmian pembukaan kejohanan tersebut di ruang legar utama di Tingkat 8, Pusat Membeli-Belah 1st Avenue, antara lain memuji pihak Persatuan Mendayung Pulau Pinang selaku penganjur kerana berjaya menganjurkan temasya sukan sebesar itu.
“Sebanyak 10 negeri yang menyertai kejohanan ini antaranya adalah Johor, Melaka, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang (manakala) lima negara yang menyertai kejohanan ini adalah Australia, Mesir, Thailand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
“Saya dimaklumkan bahawa Pulau Pinang pernah menganjurkan kejohanan tertutup mendayung dahulu pada tahun 2006 melalui MPPP (kini dikenali sebagai Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP); dan saya begitu teruja melihat (Persatuan) Mendayung Pulau Pinang di bawah teraju Presidennya Tuan Sim Ghee Beng berjaya membawa kejohanan ini kembali ke Pulau Pinang.
“Sehubungan itu, saya berharap sekalian rakyat Malaysia termasuk di negeri Pulau Pinang dapat mengambil bahagian sebagai penonton belajar untuk menyertai acara sukan ini,” ujarnya mewakili Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada majlis berkaitan di sini pada 6 Ogos 2022.
Di samping itu, beliau turut memuji usaha Exco Belia dan Sukan Soon Lip Chee yang juga ADUN Bagan Jermal kerana berjaya mengetengahkan pelbagai acara sukan baharu dalam bentuk kejohanan di negeri Pulau Pinang demi merealisasikan kempen ‘Sukan Untuk Semua’ sebagaimana dilancarkan pada peringkat Kerajaan Negeri sebelum ini.
Sebelum pada itu, Ghee Beng dalam ucapannya turut menjelaskan sebab temasya yang dianjurkan tersebut dikenali sebagai Kejohanan Tertutup Mendayung Pulau Pinang 2022.
“Ini adalah kerana, kita (Persatuan Mendayung Pulau Pinang) menggunakan format nama baharu acara sebagaimana ditetapkan Persekutuan Mendayung Dunia (FISA); sebagai contoh pada peringkat dunia ia dikenali sebagai Kejohanan Tertutup Mendayung Dunia kerana ia dianjurkan oleh FISA, Kejohanan Tertutup Mendayung Asia kerana ia dianjurkan oleh Persekutuan Mendayung Asia (ARF) dan begitulah juga dengan (Kejohanan Tertutup) Mendayung Pulau Pinang (yang dianjurkan oleh Persatuan Mendayung Pulau Pinang),” jelasnya.
Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja seperti Concept2 Malaysia, Aviron Racing, Redbull, Digi, THOR Advisory Group, Teddyville Museum, Entopia, TLC Physiotherapy, Priority Cookies, Jab Fit Gymdan Orient Fitness Gym yang turut menyumbang dalam menjayakan penganjuran temasya sukan tertutup tersebut.
Difahamkan, Kejohanan Tertutup Mendayung Pulau Pinang 2022 melibatkan 86 kategori untuk jarak mendayung 500 meter (m), 1,000m, 2,000m, berkumpulan 4X500m yang melibatkan pelbagai kelas umur bermula di bawah 13 tahun, di bawah 16 tahun, di bawah 19 tahun, di bawah 23 tahun dan terbuka sehingga usia maksimum 60 tahun.
Bermula sejak 9.00 pagi tadi, saingan akhir para peserta kejohanan dijangka pada jam 6:00 petang nanti.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB