Tahniah dan selamat kembali bertugas di Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat daripada Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu, Dato’ Khaw Kok Chin di pejabatnya dekat Komtar sebentar tadi.

Turut mengiringi, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Dato’ Fisol Salleh; Ketua Cawangan Khas Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Winston Tan Thye Wah dan Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Muhamad Halim Yatim.

Dalam pertemuan itu, Kon Yeow mengalu-alukan pelantikan Kok Chin yang baharu berkuat kuasa 12 Mei 2023.

“Tahniah dan syabas atas pelantikan terbaru ini serta selamat kembali bertugas di Pulau Pinang,” zahir beliau yang kemudiannya mengadakan pertemuan tertutup kira-kira 20 minit.

KHAW Kok Chin.

Usai pertemuan, Kok Chin ketika ditemui menzahirkan rasa syukur atas kepercayaan menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Pulau Pinang.

“Pastinya dengan lantikan ini, saya akan memastikan dari segi keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini sentiasa terjaga selain memastikan keterlibatan dengan komuniti.

“Selain itu, saya juga akan terus mendukung dasar-dasar Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di samping prinsip integriti dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab diamanahkan,” ujarnya.

Berpegang kepada slogan ‘Mesra, Cepat dan Betul’, Kok Chin sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Bukit Aman.

Menyertai PDRM sebagai Kadet Asisten Komisioner pada tahun 1991, Kok Chin pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Johor; Komander Briged Sarawak di bawah Pasukan Gerakan Am (PGA); Timbalan Komander Briged Utara PGA serta berkhidmat di Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur dan Selangor.

Di Pulau Pinang, beliau pernah dilantik sebagai pegawai di Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Kongsi Gelap, IPK Pulau Pinang; Pegawai Hal Ehwal Awam IPK Pulau Pinang; Ketua Bahagian Pengurusan di Ibu Pejabat Daerah Seberang Perai Utara dan kemudiannya memegang jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan sebelum berpindah ke Kuala Lumpur pada 2006.

Difahamkan, selepas 17 tahun meninggalkan Pulau Pinang, Kok Chin kini kembali mencurah bakti di negeri ini bagi menggantikan Dato’ Mohd. Shuhaily Mohd. Zain yang dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur berkuat kuasa semalam (15 Mei 2023).

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR