Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN LILIAN & AHMAD ADIL MUHAMAD
GEORGE TOWN – Majlis Pengisytiharan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dilangsungkan dengan penuh gilang-gemilang di perkarangan Padang Kota Lama di sini, sekaligus mencatat satu lagi peristiwa bersejarah.
Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail dibawa menyaksikan acara perbarisan yang dianggotai 48 anggota penguatkuasa lain-lain pangkat dan tiga pegawai sebelum menyampaikan ucaptama di Dewan Bandaraya baru-baru ini.
Beliau kemudian turut dibawa menyempurnakan acara menanam pokok, Maingaya Melayana di sini sebelum dilangsungkan acara jamuan tengah hari bersama-sama tetamu serta kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
Patahiyah dalam ucapannya menyebut, pengisytiharan MBPP sekaligus akan menggandakan usaha PBT berkenaan dalam mereputasi mutu pelanggan, khususnya kepada para pembayar cukai.
“Sudah tiba masanya untuk kita (warga Pulau Pinang) bersama-sama mengubah atau menerima anjakan paradigma di mana peraturan atau syarat yang tidak sesuai (wajar) diubah,” ujarnya dalam majlis bersejarah tersebut baru-baru ini.
Hadir sama, Setiausaha MBPP, Ir. Ang Aing Thye serta barisan Ahli Majlis MBPP.
Sebelum itu, Patahiyah turut menyertai majlis istiadat berasingan di Anjung Mutiara, kediaman rasmi Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff. Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir) serta para pemimpin Kerajaan Negeri lain turut hadir pada majlis itu.
Mewakili Putrajaya, Ketua Setiausaha bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Arpah Abdul Razak menyerahkan Suratcara Pengisytiharan MBPP kepada Abdul Rahman.
Istiadat diteruskan dengan acara Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengumumkan pelantikan Patahiyah] sebagai ‘Datuk Bandar’, disusuli dengan istiadat mengangkat sumpah Patahiyah ke jawatan tersebut.
Pada majlis tersebut, Patahiyah memakai busana beradat seperti jubah khas yang direka bentuk selaras dengan jubah Datuk Bandar Negara-negara Komanwel. Ia diperbuat daripada
“Blue Bramfield Silk Damask”, jahitan tangan sepenuhnya oleh syarikat Ede & Ravenscroft Limited, yang berpengkalan di London, United Kingdom. Warna biru yang dipilih adalah bagi melambangkan status Pulau Pinang sebagai Pulau Mutiara.
Malah, Patahiyah turut dipakaikan Kalung Datuk Bandar MBPP yang diperbuat daripada perak 925 bersaduran emas dengan sambungan 17 kerawang menjadi rantai leher.
Cokmar yang merupakan simbol kebesaran dan kuasa yang ada pada Datuk Bandar diperbuat daripada perak 9.25 atau sterling silver. Ia memiliki corak kerawang disadur emas, ketinggian 3 kaki dan 6 inci dengan dua bahagian utama iaitu Bahagian Atas (Kepala) dan Bahagian Bawah (Kaki).
Dua pegawai istiadat membawa cokmar khas mengiringi posisi depan dan belakang Patahiyah di sini.
Difahamkan, Kerajaan Tempatan pertama ditubuhkan di negara ini adalah di Pulau Pinang, iaitu pada tanggal 4 Januari 1801, dengan penubuhan Jawatankuasa Penaksir bagi menguruskan kadar taksiran setempat sehingga tahun 1827 tanpa pengiktirafan undang-undang.
Kemudian, Majlis Perbandaran ditubuhkan pada tahun 1856, diikuti dengan penubuhan Ordinan Perbandaran Negeri-negeri Selat (OPN) yang mempunyai lebih kuasa dalam mengendalikan hal ehwal kesihatan mulai 1 Januari 1888 hingga 1913.
Pada tahun 1950, Ordinan Pilihan Raya Penguasa Tempatan diperkenalkan bagi mengantikan amalan pelantikan presiden serta ahli-ahli majlis yang lain.
Malah, pilihan raya pertama di Malaya turut diadakan di Pulau Pinang pada 1 Disember 1951 bagi memilih para ahli majlis bagi Majlis Perbandaran George Town (MPGT). MPGT merupakan perbandaran pertama yang memilih ahli secara pemilihan.
Terdapat tiga peristiwa penting di Malaya pada 1957, iaitu : –
i) Perayaan 100 tahun Perbandaran George Town iaitu pada 1857 – 1957.
ii) Pada 1 Januari 1957, Perbandaran George Town dinaiktaraf dari ‘Perbandaran’ kepada ‘Bandaraya’ melalui Letters Patent dengan arahan Queen Elizabeth II, sekaligus merekodkan George Town merupakan bandar raya pertama di Malaysia walaupun tidak melalui Akta Kerajaan Tempatan 1976.
iii) Kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957. Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) ditubuhkan pada 15 Disember 1976, sebelum dimasyhurkan menjadi MBPP baru-baru ini.
Tahniah MBPP!} else {