Tahniah Nicol!

NICOLE David bersama ibu bapanya.
NICOLE David bersama ibu bapanya.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengucapkan setinggi tahniah kepada Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicol David kerana telah berjaya melakar sejarah baru skuasy wanita dunia buat kali keenam berturut-turut di Rotterdam baru-baru ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam kenyataannya berkata, kejayaan bersejarah tersebut bermakna anak negeri Pulau Pinang merupakan pemain wanita yang memenangi gelaran juara dunia yang paling banyak dalam sejarah skuasy.

“Kebolehan Nicol memang tidak boleh dipertikaikan tetapi menakjubkan apabila kemampuan beliau mengekalkan prestasi cemerlang dalam tempoh yang begitu lama.

“Apa yang mengkagumkan ialah kekuatan mental dan kecekalan semangat juang beliau. Pulau Pinang memang bangga di atas pencapaian Nicol,’’ jelas beliau.

Dalam pada itu, Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan menunggu kepulangan beliau ke Pulau Pinang dan akan diraikan dalam satu jamuan rasmi.

Di samping itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga mengucapkan tahniah kepada juara perseorangan badminton dunia, Zulfadli Zulkifli kerana buat pertama kalinya anak Malaysia muncul juara dalam pertandingan perseorangan badminton dalam satu pertandingan yang diadakan di Taipei baru-baru ini.