Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
AIR ITAM – Ketua Polis Negeri, Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi mengingatkan bahawa kuasa polis bantuan adalah tertakluk kepada kawasan premis majikan semata-mata dan bukan di luar kawasan berkaitan.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perbarisan Pemakaian Pangkat dan Logo Polis Bantuan PBA Holdings Berhad (PBAHB) di sini baru-baru ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng selaku Pengerusi Lembaga Pengarah PBAHB dan Ketua Pegawai Eksekutif PBAHB, Ir. Jaseni Maidinsa.
“Malah, polis bantuan juga perlu menunjukkan tahap disiplin tinggi agar imej polis sentiasa terjaga dan dipandang tinggi,” ucap beliau.
Dalam pada itu, Guan Eng pada majlis berkaitan turut memuji Abdul Rahim yang berjaya menurunkan indeks jenayah sebanyak 5.3 peratus bagi tahun 2014.
“Tahniah kepada pihak PDRM kerana berjaya turunkan indeks jenayah.
“Namun, saya kenal sangat dengan Datuk Wira (Abdul Rahim), beliau tidak akan senang berpuas hati dengan pencapaian itu, bahkan akan melipatgandakan usahanya dalam memerangi jenayah terutamanya jenayah jalanan,” ujarnya.
Pada majlis berkaitan, seramai 42 anggota Polis Bantuan PBAHB dipakaikan pangkat.
Malah, barisan tetamu kehormat turut dipertontonkan demonstrasi tempur tanpa senjata dan penggunaan ‘batont’ untuk mempertahankan diri oleh pasukan berkaitan.
Guan Eng menambah, PBAHB melalui anak syarikatnya, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan di semua premis, lokasi dan aset operasinya.
“Sebagai syarikat bekalan air, lokasi-lokasi ini telah dikategorikan sebagai sasaran penting dan kawasan larangan seperti mana
dimaktubkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Saya juga difahamkan bahawa mengikut Arahan Tetap Saranan Penting dibawah Akta Rahsia Rasmi 1972, syarikat ini diletakkan di bawah kategori keutamaan satu, iaitu sebagai sasaran penting di mana jika berlaku kerosakan ianya akan mengakibatkan kesan amat buruk terhadap ekonomi dan fungsi kerajaan,” jelasnya.
Tambah beliau, permohonan untuk menubuhkan pasukan Polis Bantuan PBAHB dikemukan kepada Polis Di-raja Malaysia (PDRM) pada 3 Mei 2013 dan diluluskan pada 29 November 2013.
“Sehingga kini, Polis Bantuan PBAHB mempunyai kekuatan seramai 44 anggota yang sudah menjalani latihan. Kekuatan anggota akan terus ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan kewangan syarikat,” ujar Guan Eng.