Tahun Naga buka lembaran baru rakyat majukan diri, negeri

Admin
f53b62fe 74aa 4958 876f 89f3ef56b7b4 TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (lima dari kanan) dengan diiringi Ketua Menteri (enam dari kanan) dan barisan pemimpin lain semasa acara Yee Sang sempena sambutan Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh Persatuan Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang di sini pada 9 Februari 2024.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap Tahun Baharu Cina pada kali ini iaitu Tahun Naga akan membuka lembaran baru buat sekalian rakyat Pulau Pinang untuk lebih maju dalam bidang yang diceburi masing-masing.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi dan Tanah dan Komunikasi berkata demikian semasa berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina yang dianjurkan oleh Dewan Perhimpinan Cina Pulau Pinang di kompleks pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut di sini pada 11 Februari 2024.

 

ff834a03 1827 442e 81d3 2291158cf388
KETUA Menteri

“Saya menyeru marilah kita bersatu serta bekerjasama dengan lebih erat dan berusaha sedaya-upaya untuk memacu Pulau Pinang terus menjadi barisan hadapan ekonomi negara, perintis inovasi, pembangunan sosial ekonomi di samping memastikan bahawa tiada pihak yang terpinggir daripada arus pembangunan ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang di bawah kepimpinan pengerusinya, Tan Sri Datuk Seri Tan Khoon Hai dan atas usaha mengelola pelbagai aktiviti aktiviti kemasyarakat demi memenuhi tanggungjawab sosial korporat NGO tersebut selama ini.

Bertemakan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, beliau berharap pentadbirannya akan terus menyemarak aspirasi serta membuka banyak peluang dan ruang untuk menarik lebih banyak penyertaan dan kolaborasi dalam merangka hala tuju yang relevan serta berkesan bagi memenuhi impian dan harapan rakyat.

Turut menyerikan sambut majlis pada pagi ini ini adalah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat; Timbalan Ketua Menteri II merangkap Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi, Jagdeep Singh Deo; serta beberapa Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) lain.

Sebelum pada itu, Khoon Hai memuji corak pentadbiran Kon Yeow yang terus memperkasakan elemen kesederhanaan dalam acuan demokrasi demi menyemarakkan semangat muhibah dalam kalangan rakyat negeri berbilang kaum.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS