GEORGE TOWN – Sebagai suntikan semangat kepada atlet-atlet istimewa yang berentap dalam Kejohanan Sukan Paralimpiad Malaysia pada 19 hingga 25 Ogos lalu, Kerajaan Negeri dan beberapa syarikat korporat telah mengambil inisiatif khas menyumbangkan RM11,000 kepada pihak berkaitan di sini.
Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (PESRON) melalui Presidennya, Dr. Tiun Ling Ta berkata, sumbangan tersebut merupakan insentif yang mampu menaikkan semangat kepada atlet-atlet yang berentap dalam kejohanan tersebut.
“Walaupun prospek Emas kontinjen iaitu boling tidak dipertandingkan, namun Emas dari acara lain mampu menampung kekurangan tersebut.
“Tahun 2012, kita memperoleh 25 Emas, Perak (26) dan Gangsa (21). Justeru, pada kejohanan kali ini, kami menyasarkan 20 pingat Emas sahaja,” katanya pada Majlis Penyerahan Tajaan Atlet Pulau Pinang Ke Sukan Paralimpiad Malaysia, Perlis 2014 di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng melahirkan rasa bangga ekoran inisiatif pihak swasta yang berganding bahu bersama-sama Kerajaan Negeri dalam menyemarakkan semangat atlet-atlet paralimpik negeri.
Pada temasya kali ini, Pulau Pinang mengambil bahagian dalam lapan acara iaitu memanah, olahraga, berenang, badminton, ping pong, tenis kerusi roda, boling padang dan angkat berat.