BAYAN LEPAS – Rakyat tidak perlu takut untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata, rakyat tidak perlu bimbang dengan pelbagai desas-desus yang didengari sebaliknya dapatkan maklumat sahih daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Saya menyeru orang ramai untuk tampil mendaftar seterusnya mendapatkan suntikan vaksin ini.
“Malah, bagi menjayakan program imunisasi kebangsaan ini, saya melalui Pusat Khidmat ADUN Batu Maung setiap hari melaksanakan kaunter bergerak di pasar malam dan pasar bagi membantu masyarakat mendaftar terutamanya untuk golongan warga emas,” ujarnya yang juga Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan sejurus menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 hari ini di Klinik Kesihatan Bayan Lepas.
Hadir sama, Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Nurul Izaa Mohamad dan Dr. G. Jayasumithra (Pegawai Perubatan).
Memandangkan MK12 di sini yang masih lagi berada di dalam zon merah, Abdul Halim berharap semua pihak dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Sungguhpun pelbagai kelonggaran telah diberikan, tetapi kita mesti patuhi SOP yang ditetapkan memandangkan kawasan ini masih berada di dalam zon merah,” tegasnya sambil memuji perkhidmatan efisien Klinik Kesihatan Bayan Lepas yang mempunyai 15 doktor petugas meskipun bertaraf klinik desa (kecil).
Selain Abdul Halim, ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz turut menerima suntikan vaksin di klinik kesihatan yang sama hari ini.
Difahamkan, bermula 11 Mac lalu kesemua petugas di klinik kesihatan berkenaan telah menerima suntikan vaksin dan dianggarkan seramai 500 orang petugas barisan hadapan iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan selesai divaksin sehingga 21 Mac ini.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI