SUNGAI PINANG – Taman Areka berdekatan Lebuh Sungai Pinang 7 kini lebih selesa ekoran dilengkapi dengan kemudahan tempat parkir kereta yang siap dinaik taraf sejak 1 Ogos baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim berkata, kemudahan tempat parkir kereta tersebut mempunyai keluasan yang selesa dan mampu memuatkan kira-kira 85 buah kenderaan pada satu masa.
“Jika sebelum ini pengunjung yang datang ke taman ini atau penduduk berdekatan terpaksa meletakkan kenderaan masing-masing di bahu jalan Lebuh Sungai Pinang 7, ini menyebabkan jalan menjadi sempit dengan kedua-dua kiri dan kanan bahu jalan diletakkan kenderaan.
“Justeru, tanah lapang di sini telah dinaik taraf oleh Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang dan siap sepenuhnya untuk kegunaan pengunjung dan juga penduduk sekitar sejak 1 Ogos lalu,” ujarnya ketika mengadakan tinjauan ke kawasan berkenaan pagi tadi.
Taman Areka yang berkeluasan lebih tiga ekar berkenaan merupakan taman riadah yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan alatan senaman, trek jogging serta basikal, taman permainan kanak-kanak dan juga lebih uniknya turut dimanfaatkan dengan mewujudkan kebun komuniti bandar.
Menurut Siew Khim, Kebun Komuniti Bandar tersebut mula diusahakan sejak dua bulan lalu dengan kerjasama dan pertolongan beberapa penduduk setempat.
Jelasnya, inisiatif tersebut bukan sahaja mengisi masa lapang sekali gus menghijaukan kawasan itu, bahkan menghasilkan hasil bumi yang boleh dikongsi bersama-sama.
“Tanah ini dulu terbiar dan penuh semak-samun, jadi kami ambil inisiatif menanam sayur-sayuran, buah-buahan dan ulam-ulaman di sini… ternyata berbaloi dalam tempoh dua bulan sahaja hasil telah dapat dituai.
“Antara yang ditanam di sini ialah kacang panjang, timun, terung, bendi, ubi keledek, serai, buah kedondong, bunga telang, pokok misai kucing, nenas dan pokok tebu,” ujarnya yang teruja sambil memetik sayur-sayuran yang telah masak di situ bersama-sama penduduk tempatan.
Mengulas lanjut mengenai perancangan beliau, Siew Khim memaklumkan bahawa beliau bercadang untuk membesarkan kawasan kebun komuniti bandar berkenaan dan bercadang untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai lokasi kunjungan sekeluarga.
“Selain beriadah, pengunjung yang datang ke sini kebanyakannya tertarik dengan kebun yang diusahakan, malah saya bercadang untuk menternak itik, ayam, arnab di sini pada masa akan datang, jadi bolehlah kanak-kanak lebih mengenali habitat dan haiwan yang jarang ditemui di bandar kini.
“Malah, untuk kawasan pinggiran Sungai Pinang saya telah berhubung dengan pihak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk datang melihat dan meninjau kesesuaian tanaman pokok berembang atau bakau di pinggiran Sungai Pinang, dengan adanya habitat semula jadi pokok berembang nanti diharap dapat menarik kelip-kelip ke kawasan ini,” kongsi beliau.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING & ADUN