Taman Bandaraya sambut Sambutan Jubli Emas, tahniah!

Admin
9b44d8d4 aa32 4e88 8e18 50a1906fa169 KETUA Menteri (tujuh dari kiri) bersama-sama barisan pemimpin Kerajaan Negeri lain merakamkan gambar kenang-kenangan di arca Jubli Emas 50 Tahun Taman Bandaraya (1972 - 2022) di sini pada 31 Disember 2023.

GEORGE TOWN – Pernah dikenali sebagai Taman Belia kira-kira 50 tahun lepas, pada hari ini, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyambut sambutan jubli emas taman yang kini ditukar nama sebagai Taman Bandaraya tersebut.

d057394d c9d7 42cf b412 a5345f5b755d
KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow semasa merasmikan majlis sambutan tersebut memuji pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan kerana saban tahun membelanjakan kira-kira RM700,000 bagi menyelenggara Taman Bandaraya demi meningkatkan keselesaan para pengunjung.

“Banyak perubahan serta penambahbaikan dari segi kemudahan rekreasi, landskap, papan tanda arah, laluan pejalan kaki, astaka, tandas dan taman permainan telah dilaksanakan sebagaimana yang kita dapat lihat sekarang ini.

“Serentak itu, MBPP juga telah menambah daya tarikan di taman ini dengan memastikan pembangunannya diseimbangkan dengan kehijauan bagi memberi keselesaan kepada pengunjung

“Pada tahun 2024, Taman Bandaraya bakal dilengkapi dengan trek kereta kawalan jauh dengan anggaran kos berjumlah RM80,000,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam majlis berkaitan di Panggung Terbuka Taman Bandaraya (Taman Belia) di sini pada 31 Disember 2023.

824aaddf 885d 47c0 afa8 5ae40ebdd4db
KETUA Menteri bersama-sama barisan pemimpn Kerajaan Negeri lain turut meluangkan masa menyertai jerayawara untuk melihat sendiri kemudahan-kemudahan baharu di Taman Bandaraya di sini pada awal pagi tadi.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut merakamkan penghargaan kepada MBPP atas kejayaan meningkatkan daya tarikan, sehingga berjaya menarik antara 1,500 hingga 3,000 orang setiap hari tanpa mengira pengunjung tempatan mahupun luar negeri ke taman awam tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memberitahu bahawa MBPP sehingga kini telah berjaya mentransformasikan 213 buah taman kejiranan dan taman poket (69) dengan membabitkan peruntukan berjumlah anggaran RM14 juta (bagi tempoh dari 2002 hingga 2023) demi menyediakan sebuah kehidupan yang memberi daya huni berkualiti kepada seluruh rakyat negeri ini.

Tambah beliau, komitmen yang ditunjukkan oleh MBPP itu adalah sejajar dengan gagasan Visi Penang2030 iaitu ke arah melahirkan sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Berucap sebelum itu, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran memberitahu bahawa Taman Bandaraya tersebut sebelum ini dibuka mulai 7 pagi hingga 7 malam, namun akan dilanjutkan sehingga 10 malam selaras dengan maklum balas warga negeri yang inginkan taman awam tersebut dibuka serta lengkap dengan kemudahan pencahayaan pada sebelah malam.

Turut berucap, Dato’ Seri Dr. Mohammed Anwar Fazal Mohammed, iaitu pengasas Taman Belia atau Taman Bandaraya.

Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong dan barisan Ahli Majlis bagi PBT berkenaan turut sertai majlis sambutan tersebut.

Serentak pada majlis sama, Kon Yeow dengan diiringi Rajendran, Chee Hong dan Mohammed Anwar Fazal turut menyampaikan sijil penghargaan kepada beberapa pesara MBPP terpilih yang pernah terlibat dalam kerja-kerja menyelenggara Taman Bandaraya.

img 7124
IBRAMSHAH Abdul Majid

Salah seorang penerima sijil penghargaan adalah bekas mandor, Ibramshah Abdul Majid, 62, yang telah berkhidmat selama 43 tahun dengan MBPP.

Selepas itu, Kon Yeow menyempurnakan acara menandatangani plak dan arca Jubli Emas 50 Tahun Taman Bandaraya (1972 – 2022) dan penanaman anak pokok Asam Gelugor atau ‘Garcinia’.

Difahamkan, Taman Bandaraya yang asalnya dikenali sebagai Taman Belia Pulau Pinang mula dibuka buat pertama kali kepada orang ramai pada 26 Februari 1972 yang mana sekali gus taman awam tersebut berusia 50 tahun pada 26 Februari tahun lepas.

e907ec9e 3425 48f4 8783 b6878ead5b1e
KETUA Menteri (tiga dari kiri) bersama-sama A. Rajendran (dua dari kiri), Cheong Chee Hong (kiri sekali) dan Mohammed Anwar Fazal Mohammed (kanan sekali) turut menyempurnakan acara menanam anak pokok Asam Gelugor atau ‘Garcinia’ sempena Sambutan Jubli Emas Taman Bandaraya di sini pada awal pagi tadi.

Sempena Sambutan Jubli Emas Taman Bandaraya di sini, sehingga 10 malam nanti pelbagai acara dilangsungkan, antaranya kejohanan bola jaring, klinik sukan ‘pickleball’, pertandingan mewarna, ‘Battle of the Band’, pertandingan ‘skill skate’, Hike @ Taman Bandaraya, lukisan mural, zumba, cabutan bertuah dan sukan rakyat.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN