Taman Industri Halal Pulau Pinang berdaya saing di persada antarabangsa

Admin

 

 

GEORGETOWN – Upacara menandatangani perjanjian lima pelabur baru di Taman Industri Halal Pulau Pinang (Penang Industrial Halal Park-PIHP) berjalan dengan lancarnya di KOMTAR, pagi tadi. 

 

Upacara tersebut melibatkan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (Penang Development Corporation – PDC) dengan Aromacom Sdn. Bhd., Swiss Confiserie Sdn. Bhd., Attractive Ventures Sdn. Bhd. atau dikenali sebagai D’nonce Biofoods Sdn. Bhd., Jeenhuat Foodstuffs Industries Sdn. Bhd. dan Everbest Soya Bean Products Sdn. Bhd. dengan jumlah pelaburan sebanyak RM345 juta yang merangkumi 31.09 ekar bagi Fasa I PIHP.

 

Selain itu, kewujudan lima pelabur baru tersebut juga bakal menyediakan lebih dari 700 peluang pekerjaan kepada warga Pulau Pinang. Kini, PIHP di Bukit Minyak mempunyai potensi pelaburan sebanyak RM195 juta yang merangkumi pelbagai industri termasuk bekalan makanan laut sejuk beku, pembuatan kek dan coklat, ekstrak herba, farmaseutikal, produk bio-degradasi dan barangan eko-pembungkusan.

 

Terbaru, pembukaan tapak bagi perindustrian aeroangkasa oleh Aviatron (M) Sdn. Bhd. dan juga perindustrian peranti elektronik, Ibiden Electrronics Malaysia di Bukit Minyak, merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dan pelaburan di Pulau Pinang.

 

Awal tahun ini, PIHP telah menerima penganugerahan status HALMAS oleh Halal Industry Development Corporation (HDC) iaitu suatu status rekabentuk industri yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pelabur malah turut memberi peluang kepada pelabur untuk merekabentuk sendiri suasana industri masing-masing. Pengiktirafan yang diperoleh ini juga sekaligus telah menambah keyakinan para pelabur untuk terus melabur di Pulau Pinang.

 

Dalam ucapan Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng menyatakan walaupun Pulau Pinang mempunyai logistik yang terhad tetapi hasil urustadbir CAT membolehkan Pulau Pinang mengendalikannya dengan sistematik dan berkesan. Malah Pulau Pinang turut mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 36.0% daripada keseluruhan jumlah pelaburan di Malaysia.

 

Tambah beliau lagi, seorang warga Pulau Pinang telah melakukan kerja enam warga Malaysia, dan semua ini adalah hasil kerjasama semua pihak yang yakin bahawa urustadbir CAT dan keberkesanan kepimpinan telah melahirkan tenaga kerja yang mahir dan profesional.

 

Ketua Menteri mengakhiri ucapan beliau dengan mengajak semua warga Pulau Pinang untuk berganding bahu menjayakan bukan sahaja pertumbuhan pesat ekonomi Pulau Pinang malah melibatkan semua aspek dalam melestarikan kehidupan harian warga Pulau Pinang.

 

Hadir sama di upacara tersebut, Exco Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi PIHH Development Sdn. Bhd. (Halal Penang), Abdul Malik Kassim ; Ahli Lembaga Pengarah Halal Penang, Koay Teng Hai dan Salleh Man ; Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar ; Penasihat Korporat kepada Pengerusi Halal Penang, Murali Ram, wakil-wakil pelabur serta wakil-wakil dari PDC.

 

Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.halalpenang.com/