Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar: ALISSALA THIAN
GEORGE TOWN – Taman Jepun yang terletak di Taman Botani hasil ilham bersama Taman Botani Pulau Pinang dan Taman Botani Itabashi, Tokyo, Jepun adalah simbolik kepada persabahatan dua pihak terbabit yang telah terjalin hampir 20 tahun sebelum ini.
Kerjasama yang terjalin sejak 1994 bermula apabila Taman Botani Pulau Pinang diberi kepercayaan untuk membantu dan membangunkan Projek Rumah Hijau Itabashi di Tokyo, Jepun dengan sumbangan kepelbagaian spesis tumbuhan tropika setahun selepas itu (1995).
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir menyambut delegasi Bandar Itabashi di Taman Botani baru-baru ini berkata, hasil daripada kerjasama tersebut, Majlis Bandaran Itabashi melalui Persatuan Daerah Komersial Itabashi telah membantu mengumpul dana bagi membina Taman Jepun sedia ada di Taman Botani Pulau Pinang masa kini.
“Hasil daripada pengumpulan dana ini dengan warganegara Itabashi, Taman Jepun telah dibangunkan di sini (Taman Botani) dengan rasminya pada 23 Julai 2008.
“Ini adalah simbol persahabatan antara dua bandar.
“Rekabentuk dan persekitaran yang dihiasi dengan buluh dan tumbuhan tropika telah dimodelkan melalui Taman Itabashi.
“Ini telah mewujudkan perasaan seperti berada di negara sendiri terutamanya buat pengunjung Jepun ataupun rakyat Jepun yang menetap di Pulau Pinang,” ucapnya pada Sambutan Ulangtahun Ke- 20 Kerjasama Antara Taman Botani Pulau Pinang dan Taman Botani Itabashi di sini baru-baru ini.
Hadir mengetuai delegasi, Datuk Bandar Itabashi, Takeshi Sakamoto.
Turut hadir meraikan delegasi, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Datuk Patahiyah Ismail, Pengarah Taman Botani, Mohd. Azwa Shah Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Cheah Kah Peng.
Dalam pada itu, menurut Guan Eng, usaha membangunkan Taman Botani tersebut akan mendekatkan masyarakat dengan alam sekitar.
“Saya percaya bahawa Pulau Pinang dan Itabashi akan memperkukuh dan meningkatkan lagi nama baik sedia ada dan berjaya pada masa depan,” ujar beliau.