Taman Kejiranan Hillside hasil maklum balas penduduk inginkan kehijauan

TANJONG BUNGA – Selaras inisiatif untuk memberi nafas baharu terhadap taman kejiranan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah menjayakan sebuah Projek Menaik Taraf Taman Kejiranan Hillside, Tanjung Bunga dekat sini.

ZAIRIL Khir Johari.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari ketika ditemui menyatakan bahawa projek berkenaan adalah hasil maklum balas penduduk sekitar yang menggemari inisiatif hijau.

“Taman yang berkonsepkan taman poket yang dilengkapi taman bunga serta alatan riadah yang pelbagai semestinya bersesuaian dengan semua golongan masyarakat setiap lapisan umur.

“Sebelum ini, taman ini  tidak dilengkapi kemudahan yang sewajarnya, melalui peruntukan (saya) bersama-sama pihak MBPP sebanyak RM317,777.10 disalurkan, merangkumi kerja-kerja penaiktarafan yang telah siap sepenuhnya pada bulan Jun 2023,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga itu semasa merasmikan majlis berkaitan baru-baru ini.

GIMIK perasmian yang berlangsung baru-baru ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran, Perunding Arkitek Pertubuhan Arikitek Malaysia (PAM), Ar. Loh Mei Ee serta barisan Ahli Majlis MBPP.

Dalam pada itu, Rajendran memaklumkan bahawa pihak MBPP sentiasa fokus dalam melaksanakan projek menaik taraf pada masa hadapan.

“Selaras Visi Penang2030 ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, semestinya MBPP ingin meningkatkan jaringan hijau ke serata negeri menjelang tahun 2024.

“Diharapkan dengan pelaksanaan projek menaik taraf ini, pengguna dapat memelihara kemudahan yang disediakan dan tidak melakukan sebarang gejala vandalisme,” jelasnya lanjut.

Difahamkan, antara kerja-kerja penaiktarafan termasuk laluan pejalan kaki, taman permainan kanak-kanak beserta rumah pokok, lampu taman, alatan senaman, bangku dan juga papan tanda.

Menariknya, taman bunga yang mempunyai lebih 20 spesies bunga turut menjadi tarikan pengunjung lokal dan luar, ditambah juga pengunjung yang berkunjung ke Astaka Hillside Tanjung Bungah yang kini telah dibuka.

Teks & Gambar : NUR ASHIKIN ISMAIL