Taman kejiranan manfaat penduduk

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

PAYA TERUBONG – Selepas dibiarkan selama 30 tahun, tanah seluas 3.048 hektar di Taman Beriksa, Farlim di sini di bangunkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebagai sebuah taman kejiranan di sini baru-baru ini. Taman dikenali Taman Kejiranan Taman Beriksa bernilai RM649,930 tersebut mula dibina pada 21 Oktober 2013 dan siap, 20 Disember tahun sama.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow ketika merasmikan taman berkenaan menyatakan bahawa sebanyak 18 alatan senaman luar, lampu solar (8), papan tanda (4), pagar aluminium, laluan joging dan laluan basikal didirikan di taman berkenaan.

“Sebagi inisiatif tambahan bagi mengindahkan taman tersebut, dua pokok yang merupakan flora jenis terancam dari spesis Tristania Whiteana dan Maingaya Malayana turut ditanam.

“Saya ingin menyeru kepada pemaju-pemaju supaya mempertimbangkan cadangan supaya memajukan baki tanah terbiar dengan mendirikan taman rekreasi seperti ini (Taman Kejiranan Taman Beriksa) supaya ianya dapat dimanfaatkan penduduk berhampiran,” ucapnya pada majlis perasmian taman tersebut di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail, Setiausaha Perbandaran MPPP, Ir. Ang Aing Thye serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin.

Taman Kejiranan Taman Beriksa merupakan taman rekreasi pertama yang diwujudkan di kawasan ini.

Tambah Kon Yeow, bagi kawasan yang mempunyai kadar kepadatan penduduk amat tinggi, amatlah wajar mempunyai taman seperti
ini.