Taman Perbandaran sebagai taman pembelajaran

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Yang pertama dalam negara! Bagi membolehkan para pengunjung ‘berinteraksi’ dengan alam semulajadi di Taman Perbandaran di sini, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengambil pendekatan memasang aplikasi Kod Tindakbalas Cepat atau ‘Quick Response Code’ (Kod QR) baru-baru ini.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Datuk Ar. Patahiyah Ismail berkata, melalui pengimplementasian tersebut, para pengunjung hanya perlu mengimbas 24 papan tanda imbas Kod QR yang diletakkan di sekitar taman bagi mengetahui maklumat-maklumat
flora dan sejarah lokasi berkenaan termasuk taman-taman mini di sini.

“Melalui aplikasi dengan kos keseluruhan RM15,000 ini, pengunjung akan dibawa melalui ‘virtual tour’ menggunakan Global Positioning System (GPS).

“Malah, secara tidak langsung, Taman Perbandaran akan menjadi sebuah taman pembelajaran (educational park) yang membolehkan pengunjung berinteraksi dengan alam semulajadi di sini,” katanya pada Majlis Pelancaran Pemasangan Kod QR Taman Perbandaran di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Rekreasi, Pelancongan dan Perhubungan Antarabangsa MPPP, Mohamed Akbar Mustapha dan Ahli-ahli Majlis MPPP.

Aplikasi kod QR boleh diaplikasikan di Taman Perbandaran ekoran perkhidmatan wifi percuma yang dibekalkan Kerajaan Negeri iaitu di bawah projek Penang Free Wifi.

Mengulas lanjut, Patahiyah memberitahu bahawa para pengunjung boleh memilih penggunaan bahasa sama ada Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia atau Bahasa Cina untuk berinteraksi menggunakan aplikasi interaktif imbas Kod QR tersebut.

“Malah, pengunjung juga boleh muatnaik maklumat lengkap berkaitan Taman Perbandaran melalui laman sesawang rasmi www. penangmunicipalpark.com di telefon pintar masing-masing,’’ jelasnya.

Dalam pada itu, Patahiyah turut memaklumkan bahawa MPPP kini dalam usaha menaiktaraf beberapa kemudahan dalam taman tersebut antaranya menggantikan peralatan permainan kanak-kanak sedia ada dengan menempatkan lantai EPDM dan menurap semula lokasi letak kenderaan pada bahagian dalam.